Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Sabtu, 22 Januari 2011

Kembalilah pada Allah dgn hati yg sejahtera...

“Pada hari tidak bergunanya harta dan anak pinak kecuali yang berjumpa dengan tuhan dengan hati yang sejahtera.”

Hati yang sihat adalah hati yang mempunyai perasaan semasa melakukan ibadat. Orang yang memiliki hati yang sihat akan merasai kemanisan dalam ibadahnya.

Ibnul Qayyim berkata :

“Periksalah hatimu pada tiga keadaan : ketika kamu membaca Al-Quran, ketika dalam majlis zikir dan ketika kamu bersendirian dengan tuhan. Sekiranya kamu dapati hati kamu kosong maka hendaklah kamu meminta pada Allah menganugerahkan hati pada mu. Sesungguhnya kamu tidak ada hati.”

Hati yang sihat adalah hati yang gementar apabila disebut nama tuhan . Hati yang terkesan dengan bacaan Al-Quran. Hati yang teruja bila mendengar azan. Hati yang takut apabila disebut api neraka tuhan. Firman Allah swt :

“Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah iman mereka apabila dibacakan ayat-ayat Allah swt dan berserah hati mereka pada tuhan.” (Al-Anfal : 2)

Hati yang sihat adalah hati yang sentiasa mengambil ibrah (pengajaran) pada setiap kejadian tuhan. Firman Allah swt :

“Sesungguhnya kejadian langit dan bumi serta silih ganti siang dan malam adalah tanda-tanda kepada orang-orang yang berakal.”
(Ali Imran : 190)

Sesungguhnya otak yang berfikir tentang kejadian tuhan dan sentiasa mengambil pengajaran adalah dari hati yang sihat. Firman Allah swt :

“Mengapakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi supaya mereka memiliki hati yang berakal untuk memahami atau mempunyai telinga yang mendengar untuk menerima. Sesungguhnya bukan mata yang buta tetapi hati yang ada di dada itu yang buta.”
(Al-Hajj : 22)

Sebenarnya apa yang berlaku setiap hari pada diri kita dan sekeliling kita ada mempunyai banyak pengajaran. Sebanyak mana pengajaran yang boleh diambil setinggi itulah tahap kesihatan hati kita.

Contohnya :

Suatu hari Hasan Al-Basri diberi air untuk dia berbuka puasa. Bila air itu hampir dengan mulutnya beliau menangis. Beliau berkata “ Aku teringat akan keinginan ahli neraka seperti yang disebut dalam Al-Quran :

“Berilah hai ahli syurga , air minum untuk kami …”
(Al-A’raf : 50)

Namun jawapannya :

“Sesungguhnya Allah mengharamkan air dan rezki untuk orang kafir.”
(Al-A’raf : 50)

Hati yang sihat akan menyebabkan mulut yang baik. Mulut yang baik adalah mulut yang sentiasa menyebut nama tuhan dan tidak mengumpat, memaki, menyebar keaiban orang, mengeluh dan sebagainya.

Nabi saw bersabda :

“Tidak lurus iman seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya sehinggalah lurus lidahnya.”
(Riwayat Hakim)

Hati yang sihat adalah hati yang khusyuk dalam ibadatnya dan hati yang sentiasa menerima kebenaran walaupun ia pahit. Firman Allah swt :

“Bilakah masanya untuk orang-orang beriman untuk khusyuk hati mereka bagi mengingati Allah dan menerima kebenaran yang Allah turunkan…”
(Al-Fatir : 16)

Hati ini sentiasa terdetik nama Allah. Sebanyak mana kamu mengingat sesuatu setinggi itulah kasihmu padanya. Sekiranya hatimu banyak menyebut nama tuhan itu tanda kasihmu padanya adalah benar-benar wujud. Kalau hati lebih banyak menyebut tentang wanita, takhta, kerja, periksa, harta, kereta atau dunia maka dakwaan cintamu pada tuhan adalah bohong.

Hati yang sihat adalah hati yang banyak runsing tentang hal akhirat dan masalah umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan