Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 2 Ogos 2010

Susah sangat ke nak faham...


Dakwah memerlukan satu uslub, dan uslub itu mesti sesuai dengan tempat dan keadaan.Kadangkala kita tidak memikirkan sangat soal ini kerana kita menganggab zaman moden serba canggih ini,maklumat akan cepat sampai apatah lagi dengan penggunaan teknologi maklumat yang begitu meluas.
Ketika saya ditugaskan di Sabah saya terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah apatah lagi yang berkaitan dengan soal halal haram.
Seorang penduduk kampung yang ada sedikit pengetahuan agama memohon jasa baik saya untuk menasihati sahabatnya yang suka makan di kedai makan orang yang bukan beragama islam apatah lagi yang dimakan itu daging khinzir. Tergamam juga saya dibuatnya apakah masih ada orang Islam yang tidak mengetahui hukum memakan daging khinzir,masya-Allah. Sebagai guru agama perkara ini tak boleh dibiarkan.
Saya cekalkan hati menghampiri lelaki yang ditunjukkan oleh sahabatnya yang sedang leka menjamah makanan yang terhidang di hadapannya.
Dalam hati keci berdoa "Ya Allah...kuatkanlah hatiku untuk menyedarkan lelaki ini bantulah hambaMu ini ya Allah" Macam-macam gambaran buruk menerpa dalam kotak fikiran,silap-silap dia mengamuk,memukul atau bermacam-macam diluar jangkaan boleh berlaku.
Saya ucapkan salam lebih dahulu untuk menentukan dia muslim atau tidak. Lelaki berusia lingkungan 50han itu tiba-tiba menjawab salam dgn sedikit terperanjat."Maaf...saya seorang ustaz yang bertugas di sini" Saya perkenalkan diri sambil berjabat salam.
Ketika diajukan apa yang dia makan,dengan tegasnya dia menjawab "Bakso"(di sini dipanggil bihun sup) Saya tanya lagi"lauk apa" dia jawab tanpa segan silu "babi'Saya tanya lagi "sebab apa makan babi?" Dengan pantasnya dia menjawab "enak bah itu...tiap-tiap kali saya limpas ini tempat,ini saja yang mau saya makan" Rupanya tak faham orang tua ini,saya jelas keadaan sebenar sebagai seorang islam dan saya bacakan juga ayat Al-Quran yang menyebut haramnya daging babi. terkejut juga orang tua ini,rupanya selama ini dia tidak tahu dan tidak ada siapa yang nak beritahu. "Habis tu berdosalah saya ni ustaz..?Saya jawab "Memanglah berdosa tapi sebab kejahilan kita mungkin Allah ampunkan dosa kita tapi mau betul-betul bertaubat"Saya mula nampak keikhlasan diraut wajahnya bila berulang kali disebut mahu bertaubat. Kerana ada tugasan lain saya tinggalkan orang tua ini dan selepas itu tak pernah lagi bertemu dengannya.
Selang beberapa bulan saya dengar lelaki ini telah kembali dari mengerjakan umrah dan khabar yang lebih memeranjatkan dan mendukacitakan dia masih lagi berkunjung di kedai bakso tersebut.
Saya bergegas pergi dan Alhamdulillah dapat bertemu dan saya melihat dia lebih ceria menyambut kedatangan saya mungkin dia sudah mengenali saya. Sekali lagi saya tanya "Kenapa masih makan daging babi..? Dengan spontan dia menjawab"Ngak sudah ustaz...haram baa itu,ngak sudah saya makan,dulukan ustaz sudah bilang sama saya, saya pegang cakap ustaz baa.. " Saya kata "Habis ini apaa" Saya tuding jari pada mangkuk di hadapannya. Dengan selambanya dia menjawab "Ini kuahnya sajaa" Allah... saya tepuk dahi... saya kah yang silap atau diakah yang silap memahami apa yang saya jelaskan dulu.
Inilah mehnah kehidupan seorang da'ie. Dalam hati kecil berkata "Susah sangat ke nak faham ajaran islam ni...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan