Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Jumaat, 27 Ogos 2010

Utamakanlah Yang Lebih Utama


Oleh: al-bahanj

"Alhamdulillah, surau-surau dan masjid-masjid dikunjungi ramai ahli jamaah pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Apatah lagi pada sebelah malamnya. Bilangan ahli jamaah pada solat sunnat Tarawih sangat ramai sehingga ada yang terpaksa solat di luar surau pada minggu pertama bulan Ramadhan.


Inilah keberkatan Ramadhan. Ramai manusia berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk bersolat jamaah dan masing-masing berlumba-lumba untuk membuat kebajikan untuk merebut pahala yang berlipat kali ganda pada bulan yang penuh barakah ini.

Namun, ada sebahagian ahli masyarakat yang salah faham akan keutamaan sesuatu amal/perbuatan atas sesuatu amal/perbuatan yang lain yang sepatutnya diutamakan terlebih dahulu. Antara salah faham itu ialah:

Mengutamakan solat sunnat Tarawih secara berjamaah, tetapi meninggalkan solat fardhu Isyak secara berjamaah.

Mengutamakan cepatnya untuk khatam al-Quran, tetapi meninggalkan usaha untuk tadabbur al-Quran.

Mengutamakan dan berpegang kuat kepada pendapat feqh tertentu, tetapi melupakan adab ikhtilaf dan akhlaq sesama muslim sehingga terguris ukhwah Islamiyyah. Sedangkan berlapang dada dalam soal khilafiah feqh adalah lebih baik, daripada memutuskan hubungan dan perpaduan masyarakat muslim.

Melambatkan solat fardhu Maghrib disebabkan oleh berbuka. Sedangkan seseorang sepatutnya menyegerakan solat fardhu Maghrib selepas berbuka puasa secara ringkas. Jika mahu sambung makan selepas solat fardhu Maghrib, silakan.

Mengutamakan sunnah berpakaian yang tidak disyariatkan ketika ke masjid seperti berjubah/berserban (bagi lelaki) dan bertelekung putih (bagi wanita), tetapi meninggalkan sunnah berpakaian yang disyariatkan seperti menutup aurat, tidak sombong, membazir, keterlaluan dan bertasyabbuh (meniru) kaum lain ketika berpakaian seharian.

Wanita mengutamakan untuk turut serta solat berjamaah di masjid, tetapi melupakan adab dan akhlaq ketika keluar rumah. Wanita boleh bersolat di masjid, tetapi jika boleh menimbulkan fitnah lebih elok dia solat di rumah sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan