Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 3 November 2010

Antara Adat dan Ibadat

Beberapa hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut aidil Adha.Sememangnya hari raya aidil Adha tidak lah semeriah hari raya puasa. Hukum adat sudah meletakkan begitu sedangkan kelebihannya diletakkan pada hari raya aidil adha berbanding aidil fitri.

Kamus Dewan 1984 mentakrifkan adat sebagai peraturan yang diamalkan turun-temurun dalam sesebuah masyarakat, sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Ibadat pula ditakrifkan sebagai bakti seseorang manusia kepada Tuhan. Takrif ini seolah-olah menyatakan, sumber ibadat ialah Ilahi (Tuhan) sedangkan sumber adat pula ialah wirathi (turun-temurun).

Memang setiap ibadat hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan hadis untuk mendapatkan pengesahan daripadanya terlebih dahulu. Manusia - walau betapa cemerlang tahap akademiknya dan mempunyai kemampuan ijtihad yang luar biasa - tidak berhak sama sekali beribadat dalam Islam hanya secara ikut dan patuh.

Adat adalah ciptaan manusia yang diwarisi turun- temurun. Sesuatu bangsa mempunyai adat dan budayanya sendiri, kadangkala adat menjadi kepercayaan yang sukar dikikis, sekalipun telah melalui zaman yang begitu lama. Tidak hairan jika pepatah ada mengatakan, biar mati anak jangan mati adat. Orang Arab jahiliah pula ada mengatakan, tanam anak perempuan hidup-hidup antara adat yang sangat dimuliakan.

Antara adat yang disunatkan ialah bertakbir sama ada bersendirian atau beramai-ramai di masjid atau di rumah. Jika Hari Raya Aidilfitri, waktu takbir bermula daripada terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan hingga selesai solat raya. Hari Raya Aidiladha pula disunatkan bertakbir pada petang hari Arafah atau 9 Zulhijah dan pada hari-hari Tasyriq, iaitu hari 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah. Adapun takbir dari rumah ke rumah pada malam raya, kemungkinan amalan itu hanya adat setempat. Baik buruknya dilihat pada bagaimana dan apa tujuan takbir bergerak dari rumah ke rumah itu dikerjakan.

Hari Raya Haji, kita bertakbir kerana menang dalam melaksanakan ibadat haji. Kalaupun tidak kita sendiri yang mengerjakannya, mungkin ada saudara-mara kita yang menang dalam menunaikan fardu itu. Kita menumpang gembira atas kemenangan mereka. Justeru, kita bertakbir Allahu Akbar sebanyak mungkin pada hari-hari tertentu.

Takbir raya sepatutnya bersemangat bukan dengan mendayu-dayu seperti yang kita amalkan sekarang. Ini kerana setiap hari raya itu menunjukkan kemenangan dan kegembiraan bukannya kesedihan.Ada beberapa tempat kita disuruh bertakbir, semuanya menunjukkan kemenangan dan pernyataan semangat. Takbir itu diucapkan dengan nada yang lebih agresif dan berani. Misalnya, ketika menyembelih haiwan korban tatkala pisau mengena leher haiwan bagi menyatakan secara simbolik bahawa sembelihan itu bukan kerana memuja syaitan yang memang sukakan dirinya dipuja dengan darah, tetapi korban kerana Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan