Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Khamis, 25 November 2010

5 gelombang besar yg membadai umat Islam


Di hadapan kita adalah umat yang tenggelam angkara bahtera yang pecah. Umat ini mesti diselamatkan dan dikembalikan ke bahtera baru yang didatangkan dari pangkalan Islam yang gagah perkasa dan dibina secanggih dan sesempurnanya. Dengan demikian, umat akan kembali berlayar menuju destinasi ilahi dengan selamat.

Kita sedang berhadapan dengan pelbagai gelombang yang membadai yang sentiasa mahu menenggelamkan dan meranapkan harapan umat yang telah begitu rapuh kerana keletihan. Mari kita perhatikan beberapa gelombang besar tersebut dan lihatlah betapa besarnya pengaruh mereka di dalam melambatkan dan meletihkan usaha penyelamatan ini;

1) Pengaruh sekularisme yang telah sebati dengan kehidupan umat. Umat Islam hari ini telah begitu sebati dengan ajaran Islam acuan sekular sehingga mereka tidak lagi merasakan kesalahan apa – apa untuk terus hidup dengan apa yang telah mereka dan ayah mereka anuti. Sebaliknya, ajakan kepada Islam yang benar sering pula dilihat sebagai salah dan menyeleweng di dalam beragama.

2) Sokongan musuh Islam terhadap Islam sekular. Barat seperti telah berpada dengan pencapaian mereka mensekularkan negara – negara Islam setelah mereka putus asa untuk menukar agama umat Islam kepada ugama mereka. Walaupun gerakan kristianisasi terus berlaku, tumpuan yang lebih utama ialah memastikan gerakan sekularisme terus berlangsung hidup di negara – negara Islam dengan bermacam – macam cara.

3) Golongan munafikin ugama yang terus menguasai persada politik umat Islam. Golongan ini begitu bebas merencanakan dan melaksanakan agenda mereka di dalam membentuk jalur pemikiran dan kehidupan umat mengikut acuan yang mereka ingini dan semestinya, ia begitu sekata dengan kehendak ketua – ketua mereka daripada pemuka – pemuka kuffar.

4) Penyakit putus asa yang melanda umat Islam yang menyukarkan usaha para pejuang Islam untuk menarik mereka kepada Islam yang benar dan syumul. Mereka tidak meyakini kekuatan diri mereka sendiri untuk kembali kepada Islam dan mereka tidak pula memberikan keyakinan kepada para pejuang Islam untuk menarik mereka keluar daripada kegelapan yang melingkungi. Penyakit putus asa terhadap agama sendiri sebenarnya menjadi duru dalam daging yang begitu menyukarkan usaha penyelamatan ini.

5) Kumpulan pejuang Islam yang masih lemah berhadapan jentera musuh ( golongan kuffar dan munafikin ) yang begitu gagah dan menguasai medan. Inilah punca paling utama yang perlu diberi perhatian oleh para pejuang Islam dan mereka yang bertanggung jawab membina dan menyusun jentera perjuangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan