Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Jumaat, 26 November 2010

Aku Dah Letih...


Kita mengeluh tentang keletihan. Tetapi itulah fitrah kejadian manusia yang diberi nafsu. Letih kerana bekerja.Letih kerana menguruskan rumahtangga dan..letih kerana melayan karenah anak-anak apatah lagi dimusim cuti sekolah.

Aku juga manusia biasa,balik dari kuliah di Masjid memang rasa letih tapi susah nak tidur. Biasalah semakin meningkat umur semakin kurang tidur. Besok pagi pergi kebun,menebas,meracun,membaja dan mengutip hasil.Memang letih tapi seronok kerana badan berpeluh. Letih mengajar lain...Badan letih dek kerana otak letih. Peluh tak keluar dan penyakit mudah datang. Fikir balik rasa macam nak pencen awal.

Bagi isteri-isteri yang suka mengeluh keletihan kerana menguruskan rumahtangga perlu mengambil pengajaran dari Rasulullah saw dan kisah ini boleh dijadikan iktibar.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Saidina Ali berkata :
“Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu.
”Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu.

Baginda s.a.w. berkata:
“Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku?
Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur:
bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam.

”Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini.

Katanya “Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca ‘Subhanallah’ (33 kali), ‘Alhamdulillah’ (33 kali) dan ‘Allahuakbar’ (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan