Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Sabtu, 5 Februari 2011

Gara-gara facebook: Isteri lari ikut kekasih ditangkap khalwat

KUALA LUMPUR:
Pertemuan semula dengan kekasih lama yang dijejak melalui laman sosial facebook menyebabkan seorang isteri hilang pedoman apabila lari meninggalkan suaminya untuk tinggal bersekedudukan dengan bekas teman lelakinya itu.

Lebih mengaibkan, wanita berusia 30-an itu yang membawa bersama anaknya berusia lebih setahun turut menuntut supaya suaminya menceraikannya.

Bertindak atas laporan suaminya, wanita itu bersama bekas teman lelakinya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Rabu lalu.

Sumber Jais berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, pasangan kekasih terbabit gagal membuktikan mereka mempunyai ikatan sah mengikut hukum syarak apabila disoal siasat.

“Mereka dibawa ke pejabat Jais untuk siasatan lanjut dan sebelum dibebaskan dengan jaminan mulut,” kata sumber itu.

Menurutnya, siasatan awal Jais mendapati suami wanita terbabit membuat laporan mengenai kecurangan isterinya, selain mendakwa isterinya melarikan anak mereka.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohamad Rais Rasid mengesahkan serbuan dan tangkapan dilakukan pihaknya terhadap wanita terbabit bersama bekas teman lelakinya.

“Kami sudah menyoal siasat pasangan terbabit dan mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada Jun depan atas kesalahan berkhalwat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya bersalah pasangan terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun, mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan