Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 4 Mei 2011

Keranda Untuk Ayah...

Di sebuah kampung, tinggal seorang lelaki tua bersama isteri dan anak lelakinya. Si ayah tua ini tidak nyanyuk walaupun sudah tua. Cuma kudrat tuanya tidak lagi mengizinkan dia bekerja seperti dulu. Ketika muda dahulu, si ayah yang tua ini tanpa mengira lelah, membanting tulang empat kerat mengerjakan sawah dan kebun, demi sesuap nasi untuk keluarganya.

Tetapi, itu cerita lama.

Kini dia sudah berumur 97 tahun. Isterinya sudah meninggal 25 tahun yang lalu. Sejak 15 tahun lepas, dia tidak lagi bekerja. Dia hanya duduk di pangkin di luar rumah, memerhati satu-satunya anak lelaki bekerja di sawah. Di situlah tempatnya melalui hari-hari, merindui kudrat lama, merindui arwah isterinya, merindui masa-masa lalu ketika anaknya masih kecil…

“Ayah! Iwan nak main benda ni, ayah tarik Iwan ye!” Laung Iwan, sambil jari menunjuk upih kelapa di depannya.

“Boleh…kejap ya. Ayah nak tebas semak ini dulu. Semak tebal ni bahaya. Nanti ayah tarik Iwan ya,” jawab si ayah, penuh kasih sayang.

“Alaa.. Iwan nak main sekarang. Cepatlah ayah! Cepatlah!” pujuk Iwan yang berusia 11 tahun sambil menhentak-hentak kakinya.

Si ayah faham benar dengan perangai anak lelakinya itu, “nanti muncung lah tu, sehari tak mahu makan nanti,” bisik si ayah di dalam hati.

“Ok, ok. Iwan duduk, ayah tarik.”

“Yeyey! Ayah tarik laju-laju tau,” gembira benar bila hajatnya dituruti. “Laju lagi! Laju lagi! Ayah tarik Iwan turun cerun kat sana ye, mesti lagi laju nanti,” arah Iwan, sambil jarinya menunjuk ke hujung hutan.

“Ya Allah!” Jerit si ayah, ia merasakan kakinya terpijak sesuatu. Duri, barangkali. Mungkin juga kaca.

“Alaa..Kenapa ayah berhenti ni? Iwan belum puas lagi. Tariklah lagi.”

Tanpa menghiraukan luka dan darah pada kakinya, si ayah ini terus menarik upih kelapa yang dinaiki anaknya, sehingga Iwan lapar dan mengajak pulang untuk makan.

Sesekali Iwan melihat kepada ayahnya yang berada di atas pangkin, “Tahu berehat saja si tua ni, pemalas betul. Aku penat-penat bekerja, dia tahu makan saja,” ngomel si anak. Geram benar ia melihat ayahnya duduk tidak berbuat apa-apa, selain makan.

Suatu hari, kerana tidak tahan lagi dengan si ayah, yang dianggap menyusahkan keluarganya, kebetulan pula musim kemarau dan kekurangan makanan, Iwan membuat satu keranda kayu untuk ayahnya.

“Ayah! Masuk dalam ni,” tanpa berkata apa-apa, si ayah masuk ke dalam keranda.

Iwan menarik keranda ke hujung hutan. Di sana ada sebuah cerun tinggi, fikirnya cerun itu sesuai untuk di membuang keranda berisi ayahnya itu, supaya si ayah tidak lagi menyusahkan ia dan keluarganya.

Sampai di cerun, sebelum sempat Iwan menolak keranda itu, dia terdengar ketukan dari dalam keranda.

“Hidup lagi rupanya,” bisiknya di dalam hati, dan membuka keranda. “Hah, ayah nak apa lagi?”

“Ayah tahu Iwan nak buang ayah dari cerun ini. Iwan nak buang ayah, Iwan buang lah. Tapi Iwan janganlah buang keranda cantik yang Iwan buatkan ini. Mungkin anak Iwan perlukan keranda ini nanti….

Tak semena-mena bibir Iwan menyebut, "maafkan saya ayah.." dengan air mata terjurai dipipi..."Ooh aku mimpi rupanya...bergegas Iwan menuju ke bilik ayahnya. Rupanya ayahnya sedang bangun malam bertahajud,kepada Allah. Berbaktilah kepada Ayah selagi mana ia masih hidup...

http://panduanislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan