Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Selasa, 25 Oktober 2011

Pemaaf...penyabar dan tidak berdendam adalah terapi kebahagian dan keberkatan hidup

Biasanya perceraian akan menyebabkan bekas isteri menanggung segala kesusahan untuk membesarkan anak-anak.

Begitulah yang berlaku kepada Syuhada (bukan nama sebenar) yang terpaksa membesarkan anak-anaknya sendiri selepas berpisah dengan suami, Jamal (bukan nama sebenar).

Namun setelah anak-anak menggenggam ijazah dan diploma, muncul si bapa untuk berkongsi kejayaan anak-anak, padahal tiada sumbangan yang diberikan untuk kejayaan mereka.

Kepulangan suami menghiris perasaan Syuhada yang selama ini telah bersusah payah membesarkan anak-anaknya, namun dia reda demi masa depan anak-anak.

Kepada saya, Syuhada bercerita untuk berkongsi pengorbanannya selepas bergelar ibu tunggal.

"Saya berusia awal 50-an, seorang penjawat awam yang akan bersara tidak lama lagi. Saya pernah berkahwin dengan lelaki yang saya cintai sejak di bangku sekolah selepas kami keluar universiti.

"Perkahwinan kami bertahan hanya 10 tahun setelah dikurniakan tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan.

"Semasa berpisah dengan suami, anak yang bongsu, Azlin di tingkatan satu, Azlina, anak sulung tingkatan lima dan yang kedua, Azrin di tingkatan empat.

"Bayangkan bagaimana keadaan saya untuk membesarkan mereka. Dengan pendapatan sebagai penjawat awam ketika itu, berapa sangat gaji yang saya dapat. Tolak itu dan ini, tinggal dalam RM700-RM800 untuk perbelanjaan rumah dan anak-anak.

"Tapi saya bersyukur kerana Allah mendengar doa saya. Diberikan saya kesusahan untuk saya membaiki diri dan berdoa untuk kebaikan dan kesenangan di kemudian hari.

"Saya juga tidak ambil kisah sebab saya tahu dia tidak mampu kerana telah bernikah lain. Saya hanya berdoa dan berharap anak-anak akan berjaya dalam pelajaran dan hidup mereka.

"Alhamdulillah kerana saya mempunyai jawatan tetap dan ada sumber kewangan setiap bulan untuk perbelanjaan kami empat beranak walaupun tidak sebanyak mana.

"Setiap hari saya berdoa dan berazam akan melalui kesusahan ini, tidak kira cara bagaimana sekalipun.

"Kehadiran isteri baru menyebabkan bekas suami lupa kepada anak-anaknya. Makan minum dan perbelanjaan harian serta makan minum mereka tidak pernah dia tanya.

"Di peringkat awal, tentu saya merasa amat perit sekali. Tidak terkejar masa, maklumlah anak-anak kesemuanya bersekolah menengah dan akan menduduki peperiksaan. Mujur mereka faham.

"Berkat didikan dan kesabaran anak sulung, Azlina berjaya ke menara gading mengambil jurusan kewangan. Yang kedua menyusul kemudian diikuti dengan yang bongsu.

"Gembiranya hati saya tidak dapat hendak dikata, saya bersyukur kerana doa saya Allah makbulkan. Saya tidak mengharapkan duit ringgit anak-anak untuk hari tua saya tetapi masa depan mereka yang saya pentingkan.

"Kini saya lega, Azlina sudah tamat belajar dan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya. Ketika kegembiraan ini saya nikmati, tiba-tiba muncul bekas suami.

"Seminggu sebelum majlis konvokesyen, Azlina pulang ke rumah dalam keadaan sugul. Saya tanya kenapa dia mendiamkan diri. Berkali-kali saya bertanya dan minta dia berterus terang dengan saya.

"Akhirnya dia memberitahu, ayahnya ada datang berjumpanya di pejabat. Dari mana dia dapat tahu tempat kerja Azlina saya juga tidak tahu. Azlina beritahu yang ayahnya mahu hadir pada majlis konvokesyennya nanti.

"Terkedu saya dibuatnya. Hati saya macam dibakar, kemarahan saya tiba-tiba menerpa. Tetapi alhamdulillah, saya cepat sedar dan beristighfar.

"Kenapa perlu saya marah, sedangkan itu ayah mereka. Apa pun terjadi antara saya dengan bekas suami, anak-anak tidak perlu dikaitkan.

"Saya tidak marah kepada Azlina sebab telah berjumpa dengan ayahnya. Saya faham perasaannya. Saya beri kebenaran kepada dia membawa ayahnya, jika itu yang ayahnya mahu.

"Apa yang akan berlaku di sana itu kerja Tuhan, kata saya. Walaupun hati berat menerima kenyataan ini tetapi saya kena positif demi masa depan anak-anak.

"Keluarga marahkan saya kerana terlalu baik dengan bekas suami. Saya tidak ada pilihan. Ini hari bahagia untuk anak sulung kami. Saya mesti gembirakan hatinya.

"Seingat saya, anak-anak marah dengan perbuatan ayah mereka tetapi tidak pernah membencinya biarpun setelah mereka berjaya, baru dia muncul.

"Saya pasti dia telah sedar kesilapannya dan mahu menebus kesalahan dan dosanya itu kepada anak-anak kami. Kalau di dunia dia terlepas, di akhirat pasti akan menerima ganjarannya juga.

"Azlina faham perasaan saya tetapi sebagai anak dia telah melakukan tanggungjawabnya, menerima ayahnya seperti dulu. Saya gembira dan bahagia walaupun hati saya telah terluka.

"Saya mendoakan anak-anak saya yang dua orang lagi, Azli dan Azrin akan mengikut jejak kakak mereka, menerima semula ayah mereka dalam apa juga keadaan.

"Pesanan saya kepada bekas isteri lain, jangan ikutkan hati tetapi fikirkan anak-anak. Mereka berhak memilih apa yang terbaik untuk hidup mereka.

"Kepada Allah saya berserah, semoga bekas suami benar-benar insaf dan bertaubat dengan perbuatannya mengabaikan kami dulu. Kepada anak-anak, terima kasih kerana membahagiakan saya," Syuhada menamatkan cerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan