Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 5 Mac 2012

Dah Terantuk baru nak Tergadah....

OMBAK – Sebuah keluarga sanggup bergolok bergadai dan berhabis ratusan ribu ringgit dalam tempoh empat tahun untuk seorang lelaki berperwatakan alim yang mengaku sebagai wali.

Tidak cukup dengan itu, lelaki yang layak digelar warga emas itu turut melarikan anak gadis keluarga berkenaan dengan meyakinkan seluruh ahli keluarga itu bahawa mereka berkahwin secara ghaib dengan bersaksikan malaikat.

Bagaimanapun, ‘sihir’ lelaki itu berakhir selepas keluarga malang berkenaan tidak diiktiraf menjadi kaum kerabatnya sebaik keluarga itu tidak lagi mampu membiayai kehidupannya.

Mangsa, Mohd Zin Mamat, 62, berkata, dia mengenali lelaki yang berasal dari Kelantan itu menerusi seorang rakan selepas cuba berikhtiar mengubati sakit kaki anak gadisnya yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

“Berusia sekitar 60 tahun, wajahnya berjambang dan berkopiah, dia selalu berulang–alik dari rumahnya di Pasir Mas untuk mengubati kaki anak perempuan kami, Siti Maizura.

“Namun, memikirkan anak kelima saya itu memerlukan rawatan susulan, kami membenarkan lelaki berkenaan tinggal di rumah ini tanpa sebarang syak wasangka,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui di rumahnya di Gombak.

Mohd Zin berkata, meskipun penyakit anaknya itu sudah sembuh, lelaki itu masih terus mahu menetap di rumahnya.

Mengenangkan keadaan lelaki berkenaan yang hidup susah, Mohd Zin sekeluarga sanggup membantu membayarkan sewa rumah.

“Lama-kelamaan kami jadi macam bodoh dan menuruti kemahuannya, dia sering mengatakan dirinya setaraf Nabi Isa dan berjanji akan membayar balik semua wang selepas dia mengeluarkan wang dari alam ghaib bernilai RM99 bilion,” katanya.

Mohd Zin berkata, lelaki itu turut mengakui bahawa mereka sekeluarga adalah kerabatnya dan pernah membawa mereka ke Pantai Cahaya Bulan bersama enam keluarga lain yang tidak dikenali, kononnya untuk memberikan pangkat dan nama gelaran sebagi persediaan tinggal bersama di sebuah istana yang bakal dibina di atas bukit di daerah Machang.

“Setiap bulan kami diperintah membayar sewa rumah dan pembiayaan sekolah serta makan dan minumnya, jika berada di Kelantan, dia akan menghubungi saya atau isteri untuk memasukkan wang dalam akaunnya. Jika kami tidak berbuat demikian, dia akan mengenakan dam’ atau denda yang mencecah RM2,000,” katanya.

Difahamkan, dalam tempoh itu juga, anak lelaki Mohd Zin membuat pinjaman sehingga RM100,000 hanya untuk membiayai kehidupan lelaki berkenaan.


Isteri dan anak perempuannya juga dikatakan sanggup menggadai barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memberikan wang kepada lelaki itu.

Anehnya Mohd Zin berkata, mereka sekeluarga tidak boleh marah kerana lelaki itu dikatakan pandai bermain dengan kata-kata dan sering memberitahu bahawa al-Quran itu hanya di bawah telapak kakinya, malah lelaki itu mengakui mampu mengampunkan dosa orang kerana boleh naik ke langit dan berunding dengan ALLAH.

“Sampai satu tahap, kami tidak boleh membiayai perbelanjaannya kerana sudah tidak mempunyai wang, lelaki itu memberitahu kami tidak layak menjadi kerabatnya dan perlu dibuang. Ketika itu barulah kami sedar tentang apa yang berlaku selama empat tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, sejak berkahwin, warga emas itu juga tanpa segan silu melakukan hubungan kelamin bersama anaknya diruang tamu rumah secara terbuka pada waktu malam.

“Sampai sekarang anak mereka tidak boleh dibintikan nama bapanya kerana perkahwinan dianggap tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Negara” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan