Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Khamis, 21 Februari 2013

Sabar-sabarlah sikit...


KUALA TERENGGANU - Hanya kerana menyuruh suaminya masuk tidur, seorang suri rumah berdepan mimpi ngeri apabila dicekik dan ditampar selain ditolak ke lantai, dalam satu kejadian di Kuala Ibai, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek, 37, yang naik 'hantu' selepas mangsa, 32, mengganggunya menonton televisyen turut merosakkan dan memecahkan beberapa peralatan di dalam rumah.

Menurut sumber, kejadian berpunca apabila mangsa mengajak suspek, yang bekerja sebagai peniaga itu, masuk tidur kerana bimbang tidak dapat menghantar dia ke klinik pada pagi yang sama.

“Pada mulanya, suspek meminta mangsa tidur dulu kerana masih ingin menonton televisyen, namun, suspek mula naik angin apabila mangsa menarik tangannya secara paksa.

“Tindakan itu menyebabkan suspek seperti dirasuk dengan mengangkat dan menolak mangsa ke lantai selain turut mencekik dan menampar muka mangsa,” katanya, semalam.

Menurutnya, kemarahan itu tidak berakhir di situ apabila suspek turut merosakkan dan memecahkan beberapa peralatan yang ada di rumah mereka sebelum menghilangkan diri begitu sahaja.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kerana bimbang keselamatannya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan