Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 4 Julai 2012

Menyesal aku kahwin dua...


Lumrah dunia setiap orang membuat silap. Seperti juga pantai, manusia juga akan berubah apabila tiba waktunya. Mereka juga berhak diberi peluang kedua untuk membaiki diri.
Namun ada insan yang berdendam termasuk juga anak-anak yang pernah melalui masa silam yang perit ditinggalkan bapa. Ada juga anak yang termakan hasutan ibu yang terseksa kerana perbuatan bapa. Kesudahannya, si bapa seperti tidak pernah wujud dalam hidup anak-anak walaupun dia masih bernafas.

Inilah mukadimah yang ingin saya sampaikan minggu ini. Kisah benar yang diceritakan sendiri oleh empunya diri, seorang lelaki berusia awal 60-an yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Wan.

Lelaki ini saya kenal melalui seorang saudara yang pernah bekerja satu pejabat dengannya. Kepada saya, Pak Wan bercerita tentang kehidupan dulunya yang banyak berbuat dosa terhadap isteri dan anak-anaknya seramai empat orang.

Pun begitu, kata Pak Wan dia telah insaf dan telah bertaubat. Tapi isteri dan anak-anak masih tidak dapat menerimanya.

Cerita Pak Wan elok dijadikan teladan kepada generasi baru agar menghargai jasa bapa walaupun dia pernah melakukan kesilapan. Ingatlah, tiada bapa tiada kita di dunia ini.
"Saya berusia 69 tahun, masih ada isteri dan empat orang anak. Masa lampau telah menghancurkan masa depan saya. Tapi saya reda kerana itu silap saya.

"Namun saya berharap dalam usia yang begini, isteri dan anak-anak akan memaafkan saya tetapi itu tidak berlaku. Puas sudah saya berusaha untuk berbaik-baik dengan mereka tetapi saya tidak dilayan seperti sepatutnya, biarpun saya telah cuba dan melahirkan rasa kesal saya dengan apa yang telah saya lakukan.

"Semuanya bermula apabila saya bernikah seorang lagi setelah 20 tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama yang saya panggil Zai.

"Perkahwinan saya memang ditentang habis-habisan oleh Zai dan anak-anak, biarpun ketika itu mereka masih kecil. Mungkin sebab mak..., mereka benci saya kerana menduakan kasihnya maka anak-anak turut terikut-ikut.

"Saya pula ketika itu sangat bodoh, ikutkan hati tidak peduli mereka dan hanya memberatkan keluarga isteri kedua saya. Saya lupa tanggungjawab saya dan mengabaikan mereka. Mereka saya biarkan hidup sendiri kerana Zai bekerja dan saya yakin dia mampu membesarkan anak-anak tanpa saya.

"Itulah bodohnya saya. Apabila saya pencen, sebahagian duit pampasan saya dikaut oleh isteri kedua dan anak kami seramai dua orang. Mereka mengatur hidup saya.
"Perbelanjaan saya disekat, duit saya dikongkong isteri kedua dan anak-anak yang berjoli sakan dengan wang pampasan yang saya peroleh. Ketika ini saya mula sakit-sakit.

"Pada masa menghadapi masalah ini, saya mula teringatkan isteri pertama dan anak-anak saya. Saya dengar cerita anak-anak semuanya berjaya, seorang doktor, pegawai bank, pegawai polis dan yang bongsu bertugas di luar negara.

"Saya mendapat khabar ini daripada saudara-mara yang sudi bercerita dengan saya walaupun mereka kesal dengan sikap saya dulu. Saya menangis gembira mendengar khabar ini tetapi tidak berdaya untuk menemui mereka kerana malu.
"Saya juga pernah berusaha untuk bertemu isteri pertama dan anak-anak untuk meminta maaf tetapi mereka tidak menerima kedatangan saya dengan alasan saya tidak layak untuk kembali kepada mereka.

"Saya tahu saya silap. Saya bersalah kerana melupakan tanggungjawab saya dulu. Saya hanya ingin minta maaf dan bertaubat atas apa yang telah berlaku. Saya bukan datang untuk meminta simpati dan meraih perhatian mereka. Jauh sekali untuk meminta wang ringgit.
"Tidak, itu bukan apa yang saya inginkan. Saya tahu dan sedar diri apa yang telah saya lakukan. Memang inilah balasan Allah kepada saya. Saya reda.

"Tapi sebelum saya pejam mata saya mahu minta ampun daripada mereka semua dan melahirkan rasa kesal saya dengan perbuatan masa lalu saya di hadapan mereka sendiri.
"Saya harap mereka terbaca ruangan ini dan memahami kehendak hati saya. Mudah-mudahan mereka dapat menunaikan hajat saya yang terakhir ini,'' pinta Pak Wan sebak sebelum menamatkan ceritanya.

Saya terkedu, sedih dan sayu dengan cerita dunia yang saya saksikan sendiri di depan mata. Jika sebelum ini saya hanya menonton drama di kaca TV tapi kisah Pak Wan adalah realiti hidup yang berlaku dalam kehidupan manusia.
Saya tidak dapat berkata lebih lanjut kerana terlalu sedih dan simpati kepada Pak Wan tetapi saya beritahu Pak Wan, Allah akan beri petunjuk dan buka pintu hati mereka untuk menerima Pak Wan semula.

Kepada isteri dan anak-anak Pak Wan, jika terbaca ruangan ini, berfikirlah dengan waras, maafkan Pak Wan kerana manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Lagipun Pak Wan sudah bertaubat dan mengakui silapnya. Ingatlah, seburuk-buruk perangai seorang bapa, dia tetap perlu disayangi dan dihormati. Tanpa dia... anda semua tidak ada di dunia ini. Maafkanlah dia!

Saya berdoa mudah-mudahan hajat Pak Wan akan terlaksana dalam masa terdekat. Semoga Pak Wan sentiasa di dalam rahmat Allah.

Menutup catatan, pesanan tulus saya, ada satu jalan menuju kebahagiaan, iaitu apabila kita berhenti mengenangkan masa silam dan saling memberi dan menerima maaf.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan