Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 8 Ogos 2011

Dagangnya Islam di bumi China

Kunjungan saya dan rombongan ke bumi China cukup memberi keinsafan betapa dagangnya Islam di sana terutamanya kepada minoriti umat Islam. Etnik Unghur adalah penganut Islam yang paling ramai tetapi kehidupan mereka penuh cabaran.

Saya sempat bertemu dengan mereka dan melihat bagaimana kehidupan mereka. Walaupun komunis China sudah mengamalkan dasar yang agak terbuka di dalam kebebasan beragama namun begitu kebangkitan Islam yang begitu mendadak amat membimbangkan mereka lalu beberapa tekanan di kenakan kepada mereka. Antaranya adalah larangan berpuasa dan bertarawih di bulan Ramadhan.

Larangan terbaru itu menekankan lagi layanan buruk kerajaan China terhadap penduduk minoriti Uighur yang sering berdepan tindakan keras pihak berkuasa sebelum ini dan dinafikan hak mereka.

Jurucakap Kongres Sedunia Uighur yang beribu pejabat di Munich, Dilxat Raxit berkata, syarikat-syarikat swasta di sini turut menyediakan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam dan mereka boleh kehilangan kerja atau bonus tahunan sekiranya enggan makan.

"Tokoh agama juga boleh kehilangan lesen menyampaikan ceramah sekiranya mereka mengadakan aktiviti keagamaan atau menyeru penganut Islam berhimpun bagi menjalankan kegiatan agama," katanya kepada agensi penerbitan dalam talian, Eurasia Review.

Jelasnya, pegawai turut menyasarkan golongan pelajar beragama Islam dengan menyediakan bekalan makanan semasa waktu rehat sepanjang bulan Ramadan.

Seorang penduduk Uighur yang enggan dikenali berkata, restoran-restoran di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam juga diarah menjalankan perniagaan walaupun ketika hari siang.

"Orang ramai juga sukar memasuki masjid untuk bersembahyang. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan diri dan mendaftar jika ingin masuk ke masjid," katanya.

Sehari sebelum Ramadan, seramai 18 maut dan 31 yang lain cedera dalam dua pertempuran etnik terbaru di Xinjiang, dua tahun selepas insiden berdarah di wilayah ini mengakibatkan 200 maut sementara 1,700 yang lain cedera.

Xinjiang dicemari pergolakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan kumpulan majoriti China Han di ibu negara, Urumqi pada Julai 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan