Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 28 Mac 2011

Bolehkah kita bersendiwara dengan Allah??

Saya sering bertemu dengan golongan yang tahu tapi tak mahu. mereka tahu sedikit sebanyak hukum hakam, dosa dan pahala tapi masih terus membiarkan diri dalam keadaan leka dan lalai.

Kita perhatikan dari sudut solat mereka. Tolak ke tepi mereka yang tidak mengerjakan solat. Soalnya yang bersolat pun masih lagi selesa meletakkan diri di kancah maksiat, dan masih liat walaupun diajak berkali-kali kembali kepada kebenaran, atas alasan yang cukup simple, belum sampai seru! Mengapa? Begitu juga ada yang mampu memiliki kereta mewah dan rumah banglow tetapi liat untuk ke Tanah suci dengan alasan yang sama "tak sampai seru"

Sedangkan, dalam solat kita, setiap rakaat kita akan mengulang permohonan minta ditunjukkan jalan yang lurus. Jika sehari solat lima waktu, dan jika secara purata kita baligh sekitar usia 15 tahun dan kini berusia 20 tahun, bermakna kita telah mengulang mohon jalan yang lurus sebanyak lebih kurang 34,675 kali. Namun kenapakah mereka (atau kita) masih lagi terkapar-kapar menunggu seru (hidayah) yang menunjukkan kita jalan yang lurus.

Renungkanlah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yg bermaksud

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka beritahulah sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul”.

kita juga sering mencipta alasan dengan menyalahkan orang lain. "Malaslah nak bertudung bini pak imam pun sidai kain kat belakang rumah tak pakai tudung”

“macam mana saya tak jadi Mat Rock , ustaz depan rumah pun pakai seluar jins dan jarang ke surau?”

“dia tu nampak je alim, tapi kat rumah Naudzubillah. Macam mana saya nak dengar cakap dia?”

Itulah antara alasan-alasan yang kita sering guna pakai untuk menolak seruan ke arah kebaikan. Jika itulah caranya, kesempurnaan yang anda damba, tunggulah malaikat turun memimpin anda ke arah kebenaran. Meskipun begitu adakah jaminan anda akan berubah? Ataukah anda menambah siri alasan dengan mengatakan “dia malaikat boleh lah buat baik. Senang je tak yah lawan nafsu”. Jadi adakah kesilapannya jatuh pada orang di sekeliling anda sehinggakan anda gagal memandang mereka sebagai ‘jawapan’ yang diutus tuhan? Saya rasakan tidak.

Sedarlah hidayah itu takkan datang bergolek dan ibrah pengajaran yang Allah tunjukkan perlu ditanggapi dengan mata hati. Dan semestinyalah hati itu perlu ikhlas mengharapkan redha Allah.

Jika anda masih tega menunggu keajaiban berlaku, sehingga tiba-tiba terlukis di langit nama anda baru anda hendak menggagau mencari tudung, maka teruslah menunggu dan menunggu.

Atau jika anda masih tega menyalahkan orang-orang yang berdakwah kepada anda disebabkan ketidaksempurnaan atau kesalahan mereka, teruskanlah! Kerana di akhirat kelak, Allah tidak akan bertanya tentang mereka, tapi tentang amal yang anda lakukan.

Janganlah nanti di akhirat kelak baru kita hendak berlagak sombong memarahi syaitan dan golongan pendosa yang menjerumuskan kita ke lembah maksiat (Fussilat:29), sedangkan di dunia ini anda merelakan diri menjadi hamba mereka yang bertuhankan nafsu.

Berhentilah mencari syurga di pintu neraka, kerana jika tersilap langkah kekallah kita di dalamnya. Berubahlah sebelum terlambat, sebelum ajal dijemput tuhan. Fikir dulu sebelum melangkah, anda mampu mengubahnya!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan