Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Jumaat, 14 Januari 2011

Apabila manusia miskin hidup dan miskin iman

Kembalilah kita semua pada Islam. Perkukuhkan institusi keluarga, masyarakat dan masjid. Hanya itulah sahaja jalan penyelesaian. Janganlah kita hidup sendiri sendiri.Akhir-akhir ini pelbagai berita sedih terpapar di media massa., ibu tunggal bunuh diri kerana kesusahan, susah dari segi kewangan dan iman.

Mangsa berusia 41 tahun akhirnya memilih jalan meminum racun untuk menamatkan dukacitanya. Dia memberitahu kawan-kawannya, dirinya amat tertekan kerana terlalu sukar mencari pekerjaan kerana usianya telah lanjut dan tidak mempunyai pengalaman bekerja.

Sejak ditinggalkan suami, dia terpaksa menyara tiga anaknya melakukan kerja bak kais pagi makan pagi. Dia perlukan pekerjaan yang lebih baik tetapi katanya, susah sangat dia memperolehi pekerjaan di negara ini! Susah betul. Betul-betul susah!


Mangsa tinggal berjauhan daripada keluarganya akhirnya memilih jalan singkat. Dia telah pun meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya menerima laporan kematian wanita itu jam 1.30 tengah hari Isnin lalu.


Bagi pemimpin janganlah terlalu banyak bermain dengan slogan retorik, sebaliknya turunlah ke padang menjengah kehidupan rakyat yang melarat dan bangsat?


WANITA TERTEKAN TEGUK RACUN

Harian Metro 14 Jan 2011


LEDANG: Penyesalan seorang ibu tunggal beranak tiga yang nekad membunuh diri dengan meminum racun rumpai, tetapi berubah fikiran dan menghubungi rakan supaya diselamatkan gagal menyelamatkan dirinya apabila dia meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.


Mangsa berusia 41 tahun menetap di Taman Mulia dekat Bukit Gambir di sini, meninggal dunia di HPSF kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin lalu iaitu tiga jam selepas dimasukkan ke hospital itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Isnin lalu, mangsa yang tertekan selepas berpisah dengan suaminya kira-kira enam tahun lalu dan terpaksa menyara tiga anak bersekolah mengambil jalan singkat dengan meneguk racun rumpai jenis Paraquat.

Bagaimanapun, dia dikatakan menyesal selepas meneguk racun itu sebelum menelefon seorang rakan dan merayu supaya segera dihantar ke pusat rawatan berhampiran.

Difahamkan, mangsa sempat berbual dengan rakannya selepas minum racun menceritakan tekanan hidup yang dihadapi sejak bercerai dengan suaminya beberapa tahun lalu.

Ibu tunggal terbabit menyuarakan kesukarannya hidupnya mencari pekerjaan lebih baik kerana usianya yang lanjut dan tidak mempunyai pengalaman bekerja.

Mangsa yang tinggal berjauhan dengan keluarganya itu hidup bersama tiga anak remaja berusia belasan tahun sejak ditinggalkan suami.


Difahamkan, dalam perjalanan ke hospital mangsa mengaku menyesal minum racun.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Hospital mangsa tidak sedarkan diri selain mulutnya berbuih.

Mangsa gagal diselamatkira-kira tiga jam selepas rawatan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubung menerima laporan kematian wanita terbabit kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin lalu.


JERUT LEHER SENDIRI

Harian Metro 14 Jan 2011


ROMPIN: Akibat menghadapi tekanan mental, seorang lelaki nekad menjerut lehernya sendiri dengan menggunakan tali sehingga maut dalam kejadian di Kampung Janglau, dekat sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 25 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu bapanya yang pulang dari Kuala Rompin sebelum bergegas menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Rompin.


Sebelum kejadian, mangsa yang tinggal berseorangan kerana ibu bapanya keluar membeli barang, mengambil tali dan menjerut leher sebelum menggantungkan diri dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ibu bapa mangsa terkejut menemui mangsa dalam keadaan tergantung dalam bilik dan sudah tidak sedarkan diri sebelum membuka jerutan tali berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jerutlehersendiri/Article/index_html


IBU ALAMI TEKANAN JIWA

Harian Metro 14 Jan 2011


KUALA LUMPUR: Ibu yang dipercayai mendera anak lelakinya berusia lapan tahun hingga maut dua hari lalu diarah menerima rawatan psikologi dan kaunseling di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan, wanita berusia 30-an itu perlu menerima rawatan berkenaan selepas siasatan polis mendapati dia mengalami tekanan jiwa.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ibu mangsa mengalami tekanan kerana terpaksa bekerja dan menjaga kanak-kanak itu sendirian.

“Hasil siasatan juga mendapati suami wanita terbabit bekerja di luar negara dan tidak pernah mengirimkan wang untuk menyara mereka dua beranak.


“Berikutan itu, wanita terbabit bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya dan memberhentikan persekolahan anak tunggalnya itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.


Menurutnya, wanita itu mendakwa kesan lecur pada badan anak lelakinya itu akibat tertumpah air panas.


“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia petang semalam (kelmarin). Laporan bedah siasat mendapati budak itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah,” katanya.

Chin Wah berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kanak-kanak dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.


Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibunya meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini, petang semalam.


http://www.hmetro.com.my/articles/Ibualamitekananjiwa/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan