Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 31 Januari 2011

Ada lagikah saman ekor? Ingat tak dak dah...

Islam tidak suka kepada sebarang penganiayaan dan penipuan. Kejahilan terhadap hukum Allah menyebabkan seringkali berlaku penganiayaan dan kezaliman. Era 70an dan 80an banyak orang bendang akan menjual telaga yang kununnya ada ikan. Pekebun durian akan memajak durian yang masih berbunga dengan harga sekian-sekian.

Dalam Islam jual beli secara demikian itu tidak sah kerana dibimbangi berlaku penipuan dan boleh menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan. bayangkan jika telaga itu dibeli dengan harga rm500 tiba-tiba bila ditimba airnya hanya ada anak-anak katak sahaja. Begitu juga durian yang dipajak dengan harga 2 ribu tiba-tiba bunga-bunganya jatuh dah tentu orang yg memajaknya akan kerugian besar. Kesimpulannya Islam melarang sesuatu yang tidak pasti sama-ada untuk dijual atau pertukaran.

Begitu juga dengan saman ekor. Ia lebih membawa kepada penganiayaan. Kadangkala kerana kecuaian orang lain pemilik kereta atau motor yg menjadi mangsa. Sebab itu kita menentang saman ekor. Seorang anak saudara saya disaman lebih 1000 ringgit (saman ekor) sedangkan kesalahan itu dilakukan oleh orang lain. Lebih menyedihkan lagi seperti yang berlaku kepada seorang warga tua seperti yg tertera dalam satu laporan berita Utusan Malaysia bertarikh 31 Jan 2011

KANGAR 30 Jan. - Melihatkan keadaannya yang uzur, pasti ramai tidak percaya seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun menerima surat saman kerana memandu melebihi had laju.

Bagaimanapun, itulah yang terjadi kepada Bakar Ismail (gambar) dari Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, yang menerima surat saman atas kesalahan tersebut.

Lebih mengejutkan, kesalahan itu didakwa dilakukannya ketika menunggang motosikal berkuasa 500cc di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Utara Selatan, 30 Julai tahun lalu.

Bakar yang mempunyai lima cicit hairan bagaimana dia boleh menerima saman di kawasan yang dia sendiri tidak tahu selok-beloknya.

"Surat saman itu tertera nombor pendaftaran motosikal pak cik iaitu PV 738 kerana memecut lebih daripada had laju dibenarkan iaitu 98 kilometer sejam (kmj) berbanding had laju sepatutnya, 80 kmj.

"Pak cik mana ada motosikal 500cc, yang pak cik ada hanyalah Honda C70, tersadai dalam bangsal sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.

Bakar turut pelik kerana walaupun nombor pendaftaran motosikal tertera sama dengan motosikal Honda C70 miliknya namun kapasiti enjinnya adalah berbeza.

"Motosikal pak cik itu telah berusia lebih 35 tahun, mana mampu pecut dan kalau diikutkan motosikal itu tidak boleh pergi jauh sekadar pekan Simpang Empat sahaja.

"Lagipun motosikal itu tiada cukai jalan, sudah lama pak cik tidak perbaharui cukai jalannya," katanya yang telah membeli motosikal terpakai itu pada 4 September 1979 dengan harga RM1,200.

Katanya, walaupun pernah sampai ke Kuala Lumpur namun dia tidak tahu selok-belok jalan di ibu negara apatah lagi lebuh raya berkenaan.

Tambahnya, surat saman yang dikeluarkan oleh pihak polis di Kuala Lumpur itu dikirim ke rumahnya pada Disember lalu.

"Berdasarkan saman itu, ia dikeluarkan anggota polis peronda pukul 1.53 tengah hari dengan kompaun RM300 dan tawaran kompaun RM150," katanya.

Anak Bakar, Mohd. Nor, 47, berkata, dia telah merujuk perkara itu ke Balai Polis Trafik Kangar dan diminta menulis surat kepada pihak bertanggungjawab di Kuala Lumpur untuk penjelasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan