Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 8 Disember 2010

Pengalaman Yang Tak Boleh Dibeli....

1982 masih ku ingat dimana aku memulakan kerjaya sebagai ustaz tak terlatih di sebuah sekolah pendalaman di Daerah Kuala kangsar. Sekolahnya seingat aku ada dua blok dan bilangan murid tak sampai 80 orang. Ketika itu projek pebinaan lebuhraya utara selatan sedang rancak berjalan.Sekolah ini tidak mempunyai bekalan api letrik dan air menyebabkan aku terpaksa berulang alik dari kuala kangsar ke Sekolah dengan menumpang motorsikal Guru Besar untuk beberapa bulan sebelum duduk di rumah bapa angkat tidak berapa jauh dari sekolah.

Gaji ketika itu seingat aku sebulan RM335, hantar dekat mak ayah Rm 100 bakinya simpan hingga dapat beli motorsikal second hand Honda CG125' berharga 300 ringgit.. Siapa yang pernah pakai motor jenis ni memang seksa. Bila stat dia bidas balik kena tulang kering..sakit nye tak boleh nak habak.

Nak jadi cerita balik dari sekolah bertembung dengan seorang Mat Rempit yang menonggang motor kapcai yang dipandu laju. Aku tak dapat mengelak cuma dapat angkat tangan kanan dari terkena handle motornya dan dia pula terpelanting melanggar pokok pisang. Aku lihat dua jari tangannya patah dan aku cedera sikit kat kaki.Mat Rempit ni tak ada lesen kesian juga jadi kami selesaikan dengan cara yang baik tanpa libatkan polis.

Besok ke sekolah hanya pakai selipar; bajupun memang tak bergosok, guru besar pun faham aku baru eksiden..Datang sekolah naik basikal je, motor belum dibaiki.tiba-tiba sebuah kereta masuk ke kawasan sekolah. Rupa-rupanya nazir dari KL datang nak memantau guru-guru.

Guru disini hanya 5 orang termasuk guru besar. Aku jadi benar-benar gelabah macam kucing tertelan ubat gegat. Dari luar aku dengar seorang nazir berbangsa cina menegur seorang guru perempuan. Dalam keadaan berselipar aku jadi buntu nak masuk kelas ke tidak kerana selepas ini period agama..hah..kacau-kacau dibuatnya.

Aku duduk kat luar tempat memasak bersama beberapa orang kampung yang ditugaskan memasak nasi dan lauk RMT untuk anak-anak sekolah. tiba-tiba salah seorang nazir melayu melambai tangan ke arahku. Berderau darahku rasa macam tak pijak tanah dibuatnya. Dia selok poket dan keluarkan Rm 3.00 dan menghulurkan pada aku dengan berkata. "Boleh tolong pergi kedai tak, belikan saya rokok dunhill sekotak..awak naik motor ke...? Saya kata "Saya naik besikal tuannn" Tuan tu bagi panjang sikit sebut sebab nak ambik hati.

Setelah diserahkan rokok dunhill bersama baki 20 sen aku bergegas ke tempat memasak tiba-tiba aku dipanggil balik. "Nah.. ambil duit 20sen ini sebagai upah" Beberapa kali aku tolak dia masukkan juga dalam poket bajuku. Ketika aku bergegas keluar ketika itu juga muridku menjerit memanggil "Ustaz masuk kelas,masa ustaz sekarang"

"Ni.. satu lagi bala" kata hati kecilku. Elok sahaja aku masuk nazir keluar dari bilik Guru Besar, bila dia pandang aku dia terkejut,tak berkedip matanya. Bila dah dekat dia pandang pulak atas bawah "Awak guru di sini?" saya anggukkan kepala,kalau dihiris muka rasanya tak berdarah. "Tak apa.. saya ingat awak tadi tukang kebun sambil senyum dia masuk balik ke bilik guru besar. Aku teruskan mengajar walaupun separuh hati. Yang hairannya sampai ke sudah dan habis kelas aku tidak dipantau langsung,buku rekod pun dia tak tengok.

Selesai sessi persekolahan orang pertama yang dihulurkan tangan bersalam ialah aku dengan ucapan "terimakasih ustaz...jumpa lagi" kawan-kawanku yang lain macam hairan dan aku juga dengar bisikan mereka "kut-kut nazir ni adik beradik dia"

Aku masuk jumpa guru besar dan tanya apa yang nazir cakap tentang aku. Sambil tersenyum guru besar jelaskan dia cuma nak tahu aku ni guru tetap ke sandaran. Bila aku bagi tahu kedudukan sebenar insiden yang berlaku dengan upah 20sen.guru besar gelak besar dan sebelum aku keluar dari biliknya sempat lagi berpesan "Ustaz, duit 20sen tuu tebuk lubang buat rantai jimat." Fuhh... kepala masam juga guru besar aku ni..

Nak dengar lagi...memang tak boleh lupa punya.

Susah juga sekolah kecik, tukang kebun pun tak dak. Bila tiba nak sambut sukan akulah yang jadi sasaran sebab tinggal berdekatan dengan sekolah. Cikgu yang lain lain tinggal di Kuala Kangsar. Awal-awal lagi guru besar dan pesan dan bagi arahan,"Saya nak minggu depan padang mesti clear, ustaz panggillah budak besar tolong tebas rumput di padang(Ketika itu mesin rumput pun tak ada)Tebas guna parang mau tercabut tangan. Guru besar pun satu... budak besar adalah seorang dua yang lain tu kametot kenot parang lebih panjang dari kaki.

Aku ni dari dulu lagi kepala masam depa tak tahu,(sekarang ni jee,ada manis sikit itu pun kalau hangpa tak kacau aku dan akupun tak suka nak kacau korang) aku panggil budak-budak yang ayahnya bela lembu(memang kawasan itu banyak lembu)Besok bawa lembu masuk padang sekolah,aku beli garam kasar 10 kilo tabur dekat padang. Tuu dia... lembu punya makan. rapat.. rumput jadi pendek tak payah tebas Tapi masya-Allah..., taik lembu berlambak-lambak macamm bengkang hangit di padang.

Besok sessi persekolahan hari isnin. Aku tengok guru besar sampai dengan muka merah tengok taik lembu berlambak-lambak.Dia panggil aku dan tanya "Ni siapa punya kerja..?
Aku jawab "Saya cikgu, saya tak mampu nak tebas,rumput tebal sangat...I am sory boss "Guru besar tepuk belakang aku "tak apa..tak apa..saya faham besok-besok jangan buat lagi tau"

Nahh haai(Kata P Ramlee) seminggu budak PJ dalam kelas. Salam sayang buat bekas pelajarku di sana...Hangpa ingat tak lagi ustaz yang suka buat silap mata tu..he..he..hee.

Lagi Kisah sedihku...3 bulan tak jamah nasi..

Disember 1987 masih ku i ingat berbekalkan wang saku 200 ringgit aku mula menjadi perantau di tempat orang. Di Bumi yang digelar sebagai bumi di bawah bayu. Aku di tempatkann bertugas nun jauh di pendalaman melalui hutan dan jalan tanah merah. Kalau hujan lebat alamat kena turun tolak van penumpang.

Aku tidak sanggup berulang alik dari bandar ke sekolah setiap hari kerana kos tambang sahaja 20 ringgit sehari pergi dan balik. Rakan-rakan sekerjaku semuanya tinggal di bandar dengan alasan di sana tidak ada api dan air dan kuaters gurupun sangat uzur serta jauh dari penempatan masyarakat kampung.

Tinggal di kuaters guru seorang diri sangat mencabar. masyarakat kampung tinggal jauh dari sekolah. Hiduplah aku seperti kera sumbang . Lepas solat isya' duduklah diberanda luar mata dok klip pok..klip pok merenung bintang di langit..Tidak ada teman untuk berbicara .Sesekali aku merenung bangunan sekolah dalam kegelapan yang dikelilingi oleh pokok-pokok pisang .

Hari berganti hari tak terasa 3 bulan masa berlalu,gaji pertamaku yang dijangka keluar pada penghujung bulan rupanya menghadapi masaalah. Kerani sekolah tidak menguruskannya menyebabkan aku mula panik. Duit di tangan dah habis. Gaji tak dapat. nak pinjam malu(Memang dari dulu aku di didik oleh ayah jangan suka meminjam) Aku mula bertahan dan bertekad untuk terus hidup dan menggunakan apa yang ada sebagai sumber makanan.

Pisang yang ditanam oleh tukang kebun sekolah dimenafaatkan sepenuhnya. Aku mula makan pisang. Terasa jemu buat pisang goreng...lepas tu cekodok pula. jemu lagi pisang rebus esoknya pula lempeng pisang. Sedar tak sedar aku telah metekedaghah pisang selama 3 bulan. Bulan 6 baru rasa lega kerana gaji aku dikeluarkan setelah tertunggak selama 6 bulan.

Usia masih muda ketika itu,gaji tertunggak 6 bulan tanpa hutang membolehkan aku membeli kereta second hand secara cash dengan harga 3 ribu. Andaian ku gaji bulan tujuh akan keluar tanpa masaalah lagi.Jangkaan ku meleset lagi,bulan tujuh , bulan lapan gajiku masih tersangkut.Duit pun dah habis kerana beli kereta. Mau tak mau aku terpaksa balik makan pisang. Bulan November aku dah tak tahan lagi nak metekedaghah pisang aku ambil keputusan untuk jual balik keretaku. Alhamdulillah bulan Disember gajiku dikeluarkan setelah tertunggak selama 6 bulan. Hingga ke hari ini bila aku dijamu cekodok atau pisang goreng hati kecilku akan tersenyum....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan