Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 24 November 2010

Dusta vs Auta....

Amru bin Bahar al-Jahidz (lahir pada zaman pemerintahan khalifah al-Mahdi 159H dan wafat pada zaman pemerintahan khalifah al-Muhtadi Billah, 255H) telah menulis dalam kitabnya "Al-Bukhala' " mengenai seorang penyair yang kaki bodek. Ia telah mengarang sebuah syair memuji-muji Gabenor Khurasan dengan pujian yang melampau-lampau. Setelah selesai mendeklamasikan syairnya, Gabenor berkata, “sungguh, bagus sekali syairmu itu!”

Kemudian Gabenor berkata kepada keraninya, “berikan dia 10,000 dirham!” Gembiralah penyair bukan kepalang, terasa bagaikan terbang di awang-awangan. Melihat keadaannya yang begitu gembira, Gabenor berkata lagi, “sesungguhnya aku melihat bahawa kata-kataku tadi telah menggembirakan kamu begitu sekali. Maka aku tambah lagi jadi 20,000 dirham!”

Bertambah-tambahlah gembiranya si penyair tidak boleh digambarkan. Melihat kegembiraannya bertambah, Gabenor berkata lagi, “nampaknya kegembiraanmu bertambah dengan bertambahnya kata-kataku, maka berilah dia 40,000 dirham!” Gembiranya si penyair bagaikan mahu pengsan dibuatnya kerana terlalu gembira dengan kata-kata itu.

Kemudian kerani mengadap Gabenor seraya berkata, “Subhanallah! Penyair ini akan redha jika tuan berikan dia 40 dirham, tapi tuan perintahkan supaya diberikannya 40,000 dirham!” Jawab Gabenor: Wailak (celaka engkau)! Adakah kamu hendak memberinya sesuatu?


Kerani Bukankah perintah tuan mesti dilaksanakan?
Gabenor: Wahai si bodoh! Sesungguhnya lelaki(penyair) ini menyukakan hati kita dengan kata-katanya, maka kita sukakan hatinya dengan kata-kata juga. Lihat, ketika dia memuji aku dengan kata-katanya bahawa aku lebih elok daripada bulan, lebih gagah daripada singa, kata-kataku lebih tajam daripada pedang, perintahku lebih pantas dilaksanakan daripada mata panah, adakah dia letakkan semua itu di tanganku yang boleh aku bawa pulang ke rumahku? Bukankah kita semua tahu bahawa dia sebenarnya berdusta? Tetapi kita rasa gembira ketika dia berdusta kepada kita. Maka kita gembirakan dia dengan kata-kata juga.

Kita perintahkan dia diberikan hadiah walaupun hanya dusta. Maka jadilah dusta dengan dusta, kata-kata dengan kata-kata. Sekiranya dusta dengan benar, kata-kata dengan perbuatan, maka itu merupakan satu kerugian yang nyata!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan