Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Khamis, 11 November 2010

Indahnya Sabar Bahagian (1)

Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam Kitabnya Bimbingan Mukmin menjelaskan Sabar iti terbahagi kerpada 4 perkara

1-Kesabaran dalam membuat ketaatan
2-Kesabaran diri dari melakukan maksiat
3-Kesabaran menerima ujian dan musibah dari Allah
4-Kesabaran dalam mengawal nafsu dan syahwat

Untuk kali ini saya akan cuba menjelaskan secara ringkas bagaimana kita perlu bersabar dalam kiita melakukan ketaatan. Kita tidak suka hadir ke majlis ilmu derngan alasan bosan. Kita tidak gemar membaca blog yang boleh menambah ilmu pengetahuan dan memberi peringatan dengan alasan tidak menyeronokkan. Minda kita lebih suka diisi dengan hiburan yang boleh melalaikan.
Kesabaran dalam melakukan ketaatan boleh kita lihat dalam mendidik jiwa untuk rajin dan tabah mengerjakan amal ibadat. Solat yang fardhu dan sunnah, sedekah yang fardhu dan sunnah, begitu juga puasa, haji, wirid harian, dan lain-lain amalan ketaatan kepada Allah baik yang khas mahupun yang am, memerlukan kesabaran dalam diri untuk melakukannya.

Namun begitu, bagi mereka yang telah sampai ke maqam Al-'Arif, segala ibadat tidak dirasakan melainkan perasaan yang lazat dan ketenangan. Al-Imam Al-Haddad ada menyebut: Sesiapa yang melazimi sifat sabar, akan sampai ke maqam Al-Qurb (hampir dgn Allah), dan di sana dia akan mendapati pada amal ibadatnya, kemanisan, kelazatan dan ketenangan yang tidak tergambar.

Betapa indahnya jika kita dapat merasai kemanisan begitu. Namun syaratnya seperti yang telah disebutkan oleh Al-Imam Al-Haddad adalah melazimi kesabaran. Pertamanya, sabar dalam istiqamah melakukan perkara yang wajib. Kemudian istiqamah dalam meningkatkan pula kualiti amalan kita itu dari sudut khusyuk dan sempurnanya. Seiringan itu kesabaran dalam beristiqamah melakukan perkara-perkara yang sunnah.

Bukankah di dalam hadis qudsi ada disebutkan bahawa tidak mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah dengan mengerjakan amalan sunnah, melainkan Allah akan menjadi Penunjuk kepada setiap langkah, perbuatan, pendegaran, penglihatan dan percakapannya. Apabila telah dekat diri kita dengan Allah, maka tentu sekali segala amalan tersebut menjadi kemanisan buat kita.

Cuba kita lihat. Apa jua yang ingin kita lakukan pada mulanya menuntut kesabaran. Si anak kecil, ketika mula-mula belajar makan, betapa sukar untuk memasukkan makanan ke dalam mulut. Selalu saja terbabas dari destinasi. Kadang terbabas ke dagu, kadang terbabas ke pipi, kadang ke hidung dan kadang sampai ke telinga. Namun berkat kesabaranlah kita semua mampu untuk makan dengan sempurna hari ini.

Begitu jua dengan amalan kita. Ambil contoh bacaan wirid selepas solat, ma'tsurat atau ratib-ratib yang ada. Kita perlukan kesabaran untuk terus membacanya dengan istiqamah. Berkat kesabaran kita, insyaAllah satu hari tanpa kita membacanya kita akan rasa kekosongan dan tidak sempurna hidup. Seperti sesorang yang berpisah dengan kekasih lagaknya. Nah, itu merupakan satu tanda kita telah mula menikmati kelazatan ibadat tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan