Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Khamis, 18 November 2010

Gantung Sampai Mati..Itulah suratan hidupmu...

Banyak juga pengalaman yang saya dapat ketika menjadi penceramah agama sambilan di Penjara Taiping. Saya bertemu dengan banduan-banduan yang menjalani hukuman di atas pelbagai kesalahan.

Semuanya ini benar-benar menginsafkan saya dan amat bersyukur di atas nikmat kebebasan hidup yang dinikmati sekarang ini. Namun begitu saya tidak berkesempatan untuk melihat sel banduan akhir yang akan dihukum gantung sampai mati. Mungkin untuk melihatnya memerlukan satu prosedur yang ketat oleh pihak penjara.

Saya difahamkan tali gantung berharga 4 ribu ke 5 ribu ringgit. Setiap tali gantung ini mempunyai nombur siri dan disimpan dalam peti besi. Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan mahkamah rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.. Mereka ini akan menghabiskan hampir 23jam sehari sendirian di sel dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas

Andaikata rayuannya gagal, banduan akhir akan terpaksa menjalani hukuman gantung sampai mati biasanya pada jam 5.30 sehingga 6.30 pagi. Bagi banduan Islam hukuman akan dilaksanakan pada subuh jumaat selepas solat subuh.

Selepas waran dikeluarkan banduan akhir akan dibawa bertemu pengarah penjara dan akan memaklumkan akan hukuman yang akan dilaksanakan. kaum keluarga juga diberitahu seminggu lebih awal dan mereka akan menunggu untuk perjumpaan terakhir dan tentunya suasana pada ketika itu amat memilukan. Banduan akhir juga diberi pilihan untuk hidangan terakhir tetapi nilainya tidak melebihi RM 7.50. Saya ada juga bertanya pada pengarah,apa yang biasanya mereka minta. Kadang-kadang ada yang minta nak makan durian siam dan macam-macam lagi dan ada juga yang tak mau makan langsung.

Menurut pegawai bertugas biasanya banduan akhir akan pasrah dan redho diatas ketentuan hidupnya. Mereka jadi begitu rajin solat tak berhenti berzikir bagi yang beragama Islam kecuali hanya beberapa orang sahaja yang bertukar agresif

Ada juga banduan yang menulis nota wasiat antaranya "Untuk isteri tercinta..Jaga anak kita baik-baik" "Anak-anakku sayang.. Jangan ikut macam ayah, doakan ayah pergi dengan aman."

Pengarah Penjara akan memberi isyarat ketika hukuman akan dilaksanakan. Gear akan ditarik dan pintu perangkap akan terbuka hanya memakan masa sekitar 15 saat sahaja. Kematian akan berlaku diantara 30 saat hingga satu minit. Mayat dibiarkan tergantung setengah jam sebelum diangkat dan diletakkan ke troli sebelum dituntut oleh ahli keluarga.

Dalam Islam hukuman yang paling tidak menyeksakan ialah pancung. Walaupun nampak ngeri tetapi itulah jalan paling mudah untuk roh keluar dari jasad.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan