Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Ahad, 3 Oktober 2010

KARENAH JIN IFRIT?

Oleh: amkns

"Sesungguhnya ALLAH lebih Maha Berkuasa dari segala makhluk yang ada di alam nyata dan alam ghaib. Hanya kepada ALLAH kita memohon bantuan dan berserah.

Kebakaran aneh

Harian Metro 3 Okt 2010


SABAK BERNAM: Lapan bulan sepanjang tahun ini menjadi tempoh paling kritikal dan menyeksakan buat sebuah keluarga di Sungai Besar, di sini, selepas saban hari berdepan kejadian aneh yang membawa kepada kesudahan memilukan apabila rumah dan dua kereta mereka terbakar.

Mangsa, Abas Awang, 49, berkata kejadian aneh yang berlaku di rumahnya di Parit 6 Timur, di sini, sejak Februari lalu menyebabkan kehidupan isteri dan seorang anak gadisnya tidak tenteram.

“Pada mulanya, lampu rumah padam sendiri, barang di rumah seperti pakaian dan peralatan dapur termasuk pisau bertaburan, malah sesekali berterbangan.

“Selepas itu, penggera kereta dan hon berbunyi sendiri, malah ada ketikanya enjin kereta hidup sendiri walaupun kunci ada di tangan saya.

“Selang beberapa bulan, berlaku pula kebakaran kecil pada pakaian dan dinding rumah, hinggalah kemuncaknya pada awal Ramadan lalu, rumah saya hangus terbakar, selain sebuah motosikal dan kereta.

“Bagaimanapun, kereta itu hanya terkena tempias kebakaran dan masih boleh digunakan selepas diperbaiki, ” katanya kepada Metro Ahad ketika ditemui baru-baru ini.

Kebakaran itu membuatkan Abas dan keluarganya berpindah sementara ke rumah mentua, tetapi kejadian aneh seperti di rumahnya tetap berlaku.

“Seminggu selepas menetap sementara waktu di rumah mentua, berlaku kebakaran kecil di dalam bilik dan selepas memadam kebakaran itu dan memastikan keadaan selamat, kami sekeluarga keluar rumah untuk mencari pengamal perubatan bagi membantu mengatasi masalah itu.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, penduduk memberitahu, rumah mentua saya hangus terbakar. Saya dan keluarga menetap sementara waktu di balai raya pula, tetapi kejadian aneh tetap berlaku,” katanya yang turut membuat catatan mengenai kejadian aneh itu di buku nota.

Menurut Abas, ketika menetap di balai raya, berlaku juga kebakaran kecil di bahagian tertentu, menyebabkan dia mengambil keputusan ‘menginap’ di khemah di luar dewan.

“Saya sekeluarga rela tinggal di khemah kerana bimbang balai raya pula yang terbakar. Alhamdulillah, balai raya itu tidak menerima nasib sama seperti rumah saya dan mentua.

“Namun, kejadian aneh sekali lagi berlaku apabila dalam tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri, sebuah lagi kereta yang dibawa isteri ke sekolah terbakar dengan sendirinya. Mujur kebakaran sempat dikawal dan kereta itu yang terbakar di bahagian kusyen belakang masih boleh digunakan selepas diperbaiki dengan kos kira-kira RM2,000,” katanya.

Akibat kejadian aneh itu, Abas dan keluarganya menjadikan khemah di luar balai raya berkenaan sebagai kediaman, termasuk ketika menyambut Aidilfitri, sebelum rumahnya yang diperbaiki boleh diduduki semula pada Aidilfitri keenam.

“Kebakaran kecil tetap berlaku, tetapi paling mengejutkan saya, kereta yang terbakar di sekolah dulu, terbakar sekali lagi di depan rumah. Hancur luluh hati saya apabila terpaksa berdepan musibah itu.

“Kereta itu terbakar di bahagian kusyen belakang serta bumbung dan keadaan kereta sangat teruk kerana dipenuhi asap hitam. Bingung saya memikirkannya,” katanya.

Pesara tentera itu berkata, sejak kejadian aneh itu berlaku dia mendapatkan bantuan lebih daripada 10 pengamal perubatan.

“Semuanya tidak berkesan. Ada pengamal perubatan mengakui tidak mampu menyelesaikan masalah yang saya hadapi dan ada pula yang turut berdepan kejadian aneh, berlaku kebakaran kecil di bahagian karpet kereta ketika dalam perjalanan ke rumah saya.

“Kali terakhir saya meminta bantuan seorang ustaz dan setakat beberapa hari ini tidak berlaku kebakaran, namun gangguan tetap ada. Saya bimbang meninggalkan rumah dalam keadaan kosong, takut terbakar lagi,” katanya.

Abas tidak mahu menaruh prasangka kepada sesiapa di atas kejadian aneh yang berlaku, sebaliknya reda kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya.

“Pengamal perubatan mengakui kejadian yang berlaku mungkin berpunca daripada perbuatan ilmu hitam, tetapi saya hanya berharap kejadian aneh ini berakhir.

“Saya sudah berusaha mengatasi masalah ini seperti membuat laporan polis dan mencuba menggunakan khidmat pengamal perubatan. Selebihnya saya bertawakal dan berserah kepada Allah SWT,” katanya.

Abas mengucapkan terima kasih kepada penduduk, termasuk anak muda yang sanggup berkawal di balai raya dan rumahnya.

Abas juga mengalu-alukan kepada sesiapa saja yang sudi membantunya menyelesaikan ‘misteri’ yang dihadapinya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kebakarananeh/myMA/myArticle/

Angkara jin Ifrit

Harian Metro 3 Okt 2010

SABAK BERNAM: “Ini ujian yang memerlukan kesabaran dan Allah akan menaikkan darjat orang yang sabar di akhirat. Ujian itu ada hikmahnya juga kerana Allah mahu kita semakin rapat dengan-Nya menerusi usaha mempertingkatkan lagi ibadat kepada-Nya.

Hisham yang juga penduduk setempat turut menyaksikan kejadian kebakaran secara tiba-tiba yang berlaku kepada kereta Abas ketika berkunjung ke kediaman Abas pada Aidilfitri keenam.

Menurutnya, ia sememangnya kejadian aneh kerana kereta mangsa terbakar sendiri.

“Ketika berkunjung ke rumah Abas, secara tiba-tiba kereta jenis Perodua Kelisa itu terbakar. Saya sendiri melihatnya.

“Ketika itu tiada sesiapa berada berdekatan kereta itu. Kebakaran bermula daripada bahagian kusyen belakang dan api berjaya dipadamkan sebelum keseluruhan kereta terbakar,” katanya.

Menurut Hisham, berdasarkan pengalamannya, kejadian aneh itu boleh dikaitkan dengan angkara jin Ifrit kerana jin itu pembawa api.

“Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, jin Ifrit mengejar Nabi dengan membawa api, lalu malaikat Jibril mengajar Nabi ayat Tammah dan akhirnya api jin terpadam dan jin itu tersungkur.

“Seperkara lagi, jika apa yang berlaku itu adalah angkara manusia, diharap sesiapa yang terbabit segera bertaubat kerana melakukan sihir itu dosa besar lagi syirik.

“Dosa syirik menghapuskan semua amalan kebaikan kita, lebih-lebih lagi doa orang teraniaya tiada hijab,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AngkarajinIfrit/myMA/myArticle/

"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan