Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 13 Oktober 2010

JAHIL MURAKAB

Sekadar
gambar hiasan

Hampir 3 jam Pak Cop berada di warung bawah pokok ketapang milik Md.Nor Capui. Sesekali ia tersengeh menampakkan gigi kuning berkarat yang hanya tinggal beberapa puntung sahaja. Tangannya bergerak nengatur buah-buah dam.Rasa puas terbayang di wajahnya kerana kali ini dia sudah ada tiga haji, bukan haji Mekah tapi haji dam.

Sudah berbuih mulut Mak Munah menasihati suaminya supaya mengurangkan tabiat membuang masa di kedai kopi tapi tak diendahkan,telinganya sudah tebal dengan leteran. Usia dah mencecah 73 tahun masih tak sedar diri. Susah juga nak melentur buluh yang sudah keras. Mak Munah ada juga berjumpa ustaz Zul kalau-kalau ustaz boleh menasihati suaminya tetapi Ustaz Zul menyatakan agak sukar kerana Pak Cop tak pernah datang berjamaah di surau apatah lagi nak ikut kelas pengajian yang di adakan setiap maghrib di surau At-Taqwa. Mak Munah menyedari hakikat ini,suaminya tak pernah solat di rumah dan terlalu jahil tentang solat.

Mak Munah hanya mampu mengangkat tangan berdoa agar suaminya diberikan hidayah dan terbuka hati untuk beribadah. "Bang Cop ...kita dah hidup bersama hampir 50 tahun,nanti kalau kita hidup di akhirat apakah kita akan bersama lagi seperti ini di dalam syurga..? Mak Munah mengatur cakap ketika Pak Cop tersandar kekenyangan selepas makan nasi lauk ikan keli masak cabai. "Saya sayangkan awak...tapi kalau awak tak sembahyang bagaimana nak masuk syurga? Awak sanggupkah kena azab dalam api neraka...Ustaz Zul cakap api neraka membakar hangus kulit kita kemudian Allah gantikan pula dengan kulit yang baru. Sedangkan tuu haa strika panas cuba gosok kat perut awak rasanya boleh tahan tak...?Lembut suara Mak Munah mengatur cakap agar hati suaminya tak terguris.

Terdiam Pak Cop,kali ini hatinya sedikit tersentuh dengan persoalan dari isterinya. "Awak kan tahu saya tak reti sembahyang.Dari dulu lagi sejak saya jadi nelayan mana pernah saya sembahyang,nanti orang tengok saya sembahyang tak betul malulah saya..."Ujar Pak Cop sambil mengeluarkan sebatang curut dari gulung kainnya. "Issyh... malu kat orang tapi.. tak malu kat Allah,belajarlah Bang Cop dekat Ustaz Zul atau Imam Sahak mereka tu... tau selok belok agama"

Pak Cop sudah mati akal antara kehendak isteri dan kejahilan yang membelenggu diri. Ia bingkas bangun sambil melepas asap curutnya. "Ya lah aku sembahyang tapi nak baca apa? "Mula-mula abang Cop tengok dulu apa imam buat, ikut saja macam mana dia takbir,rukuk sujud sampai dia habis sembahyang" Mak Munah sudah mula terasa ada sinar harapan, mungkin Allah telah membukakan hati suaminya...senyum simpul terukir dibibir.

Jarak surau dengan rumah tak lah jauh sangat. Tidak sampai 1 kilometer. Dengan basikal tua Pak Cop mula mengayuh perlahan menuju ke surau. Rasa malu jugak tak pernah ke surau tiba-tiba muncul tapi nak buat macam mana ia harus cekal dan berani. Dalam hatinya bertekad aku mesti ikut apa yang imam buat supaya tak nampak aku ni jahil sangat. Itu yang dibisikkan berkali-kali oleh hati kecilnya.

Sampai di tangga surau bilal sudah mula iqamah menandakan sembahyang akan di mulakan. Bergegas Pak Cop memadamkan api curutnya. Ditenyeh di tiang Surau agar padam apinya, nak buang sayang lalu di selit di celah telinga. Nanti lepas sembahyang boleh hisap balik. Begitulah kira-kiranya.

Ruang sebelah kanan masih kosong, walaupun agak jarak dengan imam tetapi matanya masih dapat melihat perbuatan Imam Sahak. Terasa lega juga kerana kebetulan duduk di bawah putaran kipas yang ligat berpusing sambil matanya tak henti-henti menjeling Imam Sahak. Takbiratul Ihram dapat dilakukan dengan baik,kedudukan tangan kiri di bawah tangan kanan. Ketika Imam mula membaca fatihah Pak Cop terasa telinganya panas dan semakin panas. Rupanya api curutnya mula membara akibat hembusan angin kipas dari atas.

Pissh ...tangannya mengibas telinga sehingga curut terpelanting masuk dalam jubah Imam. Tak semena-mena Imam Sahak pula terperanjat melihat bawah jubahnya berasap. Terlompat juga dibuatnya. Tengok Imam Lompat Pak Cop pun lompat sama sehingga jamaah disebelah terkejut.

Melihat api curut sudah kena jubah menyebabkan Imam Sahak berlari keluar menuju ke kolah di belakang surau. Sedar tak sedar Pak Cop juga berlari-lari anak di belakangnya. Kerana kelam kabut kaki Imam Sahak tersangkut Jubahnya sendiri apatah lagi tepi kolah masih basah dan licin...menggelonsor Imam jatuh ke dalam kolam. Pak Cop melompat masuk ke dalam kolah separas pinggang sambil tangannya menepuk bahu Imam Sahak. 'Payah sembahyang ni Pak Imam. ..Sembahyang sampai kena berendam noo..." "Berendam kepala tengkorak hang...! jerkah Pak Imam Sahak.

So..pada anak-anak muda belajarlah ilmu fardhu ain dari sekarang. Kunjungilah masjid selalu. kalau ada pengajian kitab duduklah sebentar. Insyaallah orang yang sukakan cahaya nescaya akan dikurniakan cahaya oleh Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan