Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Khamis, 2 September 2010



Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith di atas memberi pengertian yang besar kepada mereka yang berani membuat fatwa atau menjatuhkan hukum tanpa ilmu. Entah berapa ramai sekarang ini yang apabila ditanya tentang sesuatu soal agama walaupun tanpa ilmu terus mudah dari lidah dan jarinya mengeluarkan 'fatwanya' sendiri. Malahan ada yang hanya belajar melalui buku sahaja tanpa pernah ada asas-asas kaedah untuk mengeluarkan hukum, terus mengatakan itu halal, ini haram. Engkau masuk ke syurga, dan dia masuk neraka.

Bayangkan seorang yang jahil dalam ilmu kedoktoran kemudian apabila ada pesakit yang selsema dan ia mengatakan pesakit ini harus dibedah perutnya. Inilah kerosakan yang telah dibuat.

Fahamlah, rupanya proses untuk mengeluarkan fatwa itu sendiri bukanlah senang. Kerana ulamak takut untuk mengeluarkan hukum tanpa hak.

Menghafaz hadith semata-mata belumlah dikatakan seorang faqih yang dapat mengeluarkan fatwa selagi ia tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi syarat-syarat lain untuk berfatwa. Selagi dia tidak mempunyai kemampuan ilmiah untuk membezakan antara riwayat yang maqbul (diterima) dan riwayat yang mardud (ditolak); antara yang sahih (baik) dan ma'lul (cacat). Demikian juga kemampuannya untuk mengambil hukum (istinbat) dan melakukan tarjih (menentukan riwayat mana yang lebih kuat); atau melakukan ta'luq (penggabungan) antara beberapa riwayat yang nampak berbeza, atau penggabungan antara nas-nas yang mengandungi beberapa pengertian dengan maqasid syar'iyyah dan kaedah-kaedah kulliyyah (umum).



Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya Al Faqih wa al Mutafaqqih Juz 2 Hlm 157 dari al Imam Syafi'i radiyaLlahu 'anhu berkata :
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif Kitab ALlah (al Quran), Nasikh Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Nasikh dan Makkiyah dan Madaniyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith RasuluLlah s.a.w; Nasikh dan Mansukhnya; Pengetahuannya mengenai hadith Nabi s.a.w mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan seluk beluk syair, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran. Disamping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram.

Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan