Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 20 September 2010

BESARNYA PENGORBANAN SEORANG AYAH...

Gambar Hiasan

Apabila melihat anak-anak zaman sekarang, hidup mereka diseliputi kesenangan. Mereka tidak mengenal arti penderitaan. makanan,pakaian rumah tempat tinggal semuanya selesa. Ini berbeza dengan zaman 60han dan 70han dahulu. Hidup susah,kemudahan hidup serba kekurangan. Tetapi dalan kesusahan itu ada hikmahnya. iaitu kita akan menjadi lebih cekal dan tabah menghadapi segala cabaran mendatang. Terutama sebagai seorang ayah yang akan memimpin rumahtangga...
Masihku ingat pengorbanan seorang ayah yang telah membesarkan 11 orang anak hingga boleh dikatakan berjaya melayari kehidupan di alam maya ini.
Walaupun kami anak-anak sukar untuk bermanja dengan ayah lantaran kesebokkannya bekerja membanting tulang pagi dan petang,namun satu prinsip hidup yang amat aku sanjungi ialah dia tidak akan membiarkan anak-anak terbiar tanpa ilmu. Masih terngiang di telinga ayah berpesan pada kmi anak-anaknya "Anak-anak ayah belajarlah bersungguh-sungguh, kita tidak akan miskin dan hidup merempat jika kita berilmu.Begitu juga kita akan dihormati sekiranya kita ada ilmu. Biar kita miskin harta tapi jangan miskin ilmu. Kami adik beradik tunduk membisu mendengar nasihat ayah. Memang ayah suka memberi nasihat terutama ketika kami makan bersama.

Hidup ketika itu amat susah, rumah berlantaikan batang pinang dibelah dua dan dinding bumbung beratap nipah

Masih ku ingat makanan harian adalah bubur nasi dengan hanya lima enam ekor ikan bilis. Susu jauh sekali..kami dibesarkan dengan air didihan nasi menggantikan susu. Itulah mungkin tumbesaranku terbantut sedikit. Ada juga aku dengar orang bercakap "Mana satu ustaz Saidin..? Tu haa ustaz yang kecil-kecil tu"

Kampungku (Sg Keluang Pulau Pasir Hitam)Ketika itu terlalu dhoif. Penduduk tidak ramai.Kemudahan asas seperti sekolah klinik tidak ada.Waktu malam menggunakan lampu pelita minyak tanah. Air minuman hanya air tadahan hujan yang turun dari bumbung rumah.Disebabkan tanah tanih di sini bergambut hitam menjadikan air telaga juga berwarna hitam(spt air nescafe) dan rasanya payau hanya sesuai untuk mandi sahaja.

Oleh kerana di sini tidak ada sekolah bila usia mencecah 7 tahun ayah begitu tega menghantar aku belajar di sekolah rendah di seberang laut dengan menyelusuri muara sungai.Perjalanan dengan bot berinjin memakan masa lebih kurang satu jam.

Ketika usia begitu muda aku telah dipisahkan dengan ibu bapa dan dilatih hidup berdikari. Sebuah pandok kecil seperti dangau dibina di seberang (Sg.Kerang) Aku didaftarkan masuk ke Sk.Sg Tinggi satu kilometer jaraknya dari Sg.Kerang. Ayah begitu yakin aku boleh hidupsendirian dan belajar masak sendiri mengguna dapur minyak tanah.

Dunia seronok seperti kanak-kanak zaman IT memang tidak ada. Berbekalkan hanya RM2 itulah belanja selama 5 hari. Duit sebanyak itu untuk beli lauk sahaja kerana bekalan beras dibawa dari rumah.. Untuk lebih jimat perbelanjaan aku beli bawang merah banyak sikit, kerana bawang goreng pun boleh buat lauk.

Biasanya aku akan balik ke kampung pada petang jumaat dan datang semula ke pondok pada pagi atau petang ahad ikut keadaan bot penambang. Suatu hari ketika nak bertolak balik(petang ahad)bot penambang dah sedia menunggu ayah tak ada di rumah.Puas aku mencari tak jumpa juga sedangkan aku perlu wang perbelanjaan.. Ibu mencadangkan carilah telor ayam kalau ada untuk dijual. Puas aku mencari dalam reban sebiji pun tak ada yang ada hanya telor ayam mengeram.Tak ada cara lain telor ayam mengeram pun aku ambil, cina pembeli bukan dia tahu pada perkiraanku. Alhamdulillah sampai di seberang telur itu dapat dijual pada apek cina dengan harga $1.80

Esoknya aku terkejut bila ayah datang dengan mengayuh sampan sedangkan kalau naik bot berinjin pun memakan masa 1 jam perjalanan. Ayah hulurkan Rm 2 dengan pesan belajarlah bersungguh-sungguh.Aku lihat manik-manik keringat di dahi ayah mungkin terlalu penat berkayuh. Ketika usia begitu tentunya aku belum dapat memahami penderitaan dan pengorbanan seorang ayah.

6 tahun merantau di negeri di bawah bayu aku kembali menetap di Taiping dan ini telah mendekatkan aku dengan ayah dan ibu yang sudah semakin tua.Tanah di Sg Keluang telah dijual untuk menampung perbelanjaan adik-adik yang masih bersekolah .Tanah yang didiami oleh ayah dan ibu sekarang ini adalah tanah yang aku beli dan atas persetujuaan anak-anak rumah yang di dalam di angkut keluar dan didirikan di tanahku di Batu hampar Dalam. Bila ayah ibu dah duduk di luar senanglah kami anak-anak menziarahi mereka tak perlu nak menunggu-nunggu bot lagi.

Suatu hari ketika aku bersarapan pagi bersama ayah. Ayah memandang wajahku dan membongkar rahsia yang disimpan sejak bertahun-tahun yang lampau."Hang ingat tak dulu ayah menghilangkan diri. Masa tu hang dah nak bali ke pondok..Hang tau tak mana ayah pergi..."Sambil tangan ayah menggulung rokok daunnya.

Aku renung wajah ayah dalam-dalam..sambil mengelengkan kepala aku menjawab"Memang tak tau mana ayah pergi puas cari kat mesjid,lepas tengok kat kebun belakang rumah tak jumpa jugak"

"Ketika tu ayah tak dak duit langsung,ayah masuk hutan bakau cari siput belitung dari pagi sampai petang.Lepas tu ayah jual dapat lah $3.20, Esoknya ayah datang hantar duit kat hang..."

Allahuakbar... inilah pengorbanan seorang ayah,saya tatap wajah ayah. Sudah nampak jelas kedut-kedut diwajahnya.Dalam hati kecilku berkata apakah aku boleh tegar menjadi manusia sehebat ayahku..

Bila malam menjelma,dengan desir angin menghembus lembut pelipis telingaku,rembulan pula seolah-olah mengintai dibalik awan gelap,dan apabila nostalgia mengimbau kembali memoriku tanpa kusedari air mata mula jatuh ke pipi. Tangan ku angkat 'Ya Allah damaikanlah roh ayahandaku di alam barzah Mu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan