Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Jumaat, 24 September 2010

Beraja di mata Bersultan di hati


Pukul pelajar kelas tahfiz

Harian Metro 24 Sep 2010

JASIN: Empat lelaki warga emas berlagak ala samseng apabila didakwa tergamak memukul empat pelajar pusat tahfiz di Taman Seri Merlimau, dekat sini, semata-mata kerana dihalang merobohkan tandas di asrama itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, empat pelajar berusia 11 dan 14 tahun itu mendakwa ditendang, ditampar dan dipukul. Lelaki terbabit yang berusia 60-an didakwa datang ke Pusat Tahfiz As-Solihin bagi merobohkan tandas dan asrama pelajar. Bagaimanapun, lapan pelajar pusat itu pergi ke tandas berkenaan bagi menghalang mereka.

Difahamkan kumpulan lelaki itu datang ke pusat berkenaan bagi mengarahkannya dirobohkan untuk membolehkan tanah berkenaan digunakan pemiliknya.

Pelajar, Mohd Asyraf Yendri, 13, berkata, empat lelaki itu tiba-tiba datang memintanya serta rakan yang berada di tandas itu beralih. Mohd Asyraf mendakwa kerana dia dan rakannya enggan beredar, seorang daripada lelaki itu menendang peha kirinya sehingga dia terjatuh.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana beberapa pelajar senior di situ menolong mengangkatnya sebelum mendakwa lelaki itu menghalau mereka. Dia mendakwa, lelaki berkenaan membawa penukul dan besi pengumpil dipercayai bagi membuka dan merobohkan bumbung tandas.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Mohd Amri Roslan, 14, mendakwa lelaki berkenaan bertindak kasar dengan menolak pintu tandas yang terbuka ketika dia mahu menguncinya. Dia mendakwa ditarik seorang daripada lelaki terbabit yang memarahinya serta memukul belakangnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan. Katanya, pihaknya mendapati kes berpunca daripada pemilik tanah mahu mengambil alih tanah 0.6 hektar miliknya di pusat tahfiz itu.

“Kami mendapati pemilik tanah mengeluarkan notis tiga bulan untuk bangunan itu dikosongkan yang berakhir hari ini (semalam). “Kami memanggil pihak terbabit berbincang dan hasilnya, tempoh 30 hari diberikan. Jika gagal, pemilik tanah dinasihati mengambil perintah mahkamah bagi mengelak unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, pusat tahfiz itu dibuka sejak enam tahun lalu selepas pemilinya mengamanahkan tanah berkenaan dimajukan untuk membina pusat kegiatan ilmu. Seorang lagi mangsa, Aminudin Asahari, 11, berkata mendakwa ditampar seorang daripada lelaki terbabit ketika mahu mempertahankan kemudahan di asramanya itu.

Dia mendakwa diarahkan oleh pelajar senior untuk ke tandas berkenaan bagi menghalang kumpulan lelaki terbabit berbuat demikian. "Saya menjalankan amanah yang diberikan dan saya perlu mempertahankan amanah yang diberikan," kata pelajar berasal dari Serkam Darat itu.

Beberapa pelajar turut mendakwa lelaki terbabit bertindak biadap dengan masuk ke dalam surau tempat mereka belajar hafazan al-Quran dengan tidak membuka kasut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, beliau mengesahkan menerima laporan mengenai empat pelajar tahfiz berkenaan dipukul sekumpulan lelaki dan pihaknya masih menyiasat dakwaan itu.

Mengulas mengenai kes itu, beliau berkata, sejurus mendapat aduan berkenaan pasukannya ke lokasi berkenaan bagi melakukan siasatan dan mendapati kes itu berpunca daripada pemilik tanah terbabit mahu mengambil alih tanah seluas 0.6 hektar miliknya di pusat tahfiz berkenaan.

"Kita mendapati pemilik tanah berkenaan sudah mengeluarkan notis selama tiga bulan untuk pentadbiran pusat tahfiz berkenaan mengosongkan bangunan itu. Bagaimanapun tempoh notis yang berakhir hari ini (semalam) dan mereka masih belum berpindah.

"Selepas mendapat penjelasan, kami memanggil wakil daripada kedua-dua belah pihak bagi membincangkan masalah itu dan keputusan yang dicapai adalah memberi tempoh 30 hari untuk mereka menyelesaikan masalah itu. "Sekiranya gagal pemilik tanah berkenaan dinasihatkan mengambil perintah mahkamah bagi mengelakkan unsur jenayah berlaku," katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukulpelajarkelastahfiz/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan