Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Ahad, 22 Ogos 2010

Jejak Merdeka : Abd Rahman Limbong Pejuang Yang Dilupakan


Tok Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah nama gelaran Haji Abdul Rahman Haji Abdul Hamid. Lahir sekitar tahun 1880an dan pernah mengaji di Mekah.

Tok Guru Abd Rahman Limbong pernah berguru dengan Tokku Paloh, yang juga guru kepada Tok Kenali. Tok Guru Abdul Rahman Limbong adalah seorang yang sangat warak dan alim juga sangat dihormati oleh masyarakat di Limbong dan Telemong terutamanya.

Haji Abdul Rahman Limbung telah memainkan peranan besar dalam masyarakat di Terengganu. Beliau bukan sahaja berperanan sebagai tokoh agama, malah juga mengambil berat tentang aktiviti ekonomi, sosial dan politik masyarakat setempat.Beberapa siri pemberontakan telah berlaku di Terengganu dari tahun 1921 sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1928 bila melibatkan angka korban dan kemusnahan yang banyak. Maka, pada 12 Zulhijjah 1436 bersamaan 2 Jun 1928, Sultan Sulaiman Shah, atas nasihat Inggeris, telah mengeluarkan titah supaya Haji Abdul Rahman dibuang negeri dari Terengganu atas kesalahan menderhaka kepada negeri dan Sultan.

Haji Abdul Rahman menafikan tuduhan tersebut kerana beliau bukan menderhaka, tetapi menentang sikap kerajaan dan raja yang telah diperbudakkan oleh penjajah Inggeris. Hakikatnya, Haji Abdul Rahman menentang pegawai-pegawai Inggeris yang mahu menindas rakyat untuk kepentingan British.Walaupun tidak mengaku bersalah, Haji Abdul Rahman Limbong menerima hukuman tersebut demi mengelak dari berlakunya huru-hara. Beliau telah memilih untuk tinggal di Mekah dan meninggal di Mekah pada tanggal 14 Jamadil Akhir 1348 bersamaan 16 November 1929.

Maka berakhirlah perjuangan seorang tokoh agama yang ingin menegakkan kesucian agama dan menentang pengaruh barat yang cuba mengganggu-gugat kesucian Islam dan keimanan umat Islam di nusantara.*

Tiada ulasan:

Catat Ulasan