Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 2 Julai 2012

Beza antara sahabat dan ikhwan


PADA suatu hari terjadi percakapan di antara Nabi saw dengan Abu Bakar assiddiq. Sahabat yang lain pula mendengarkannya.

”Wahai Abu Bakar, begitu rinduku hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan),” berkata Nabi.

”Wahai Nabi, bukankah kami ini teman -temanmu?” jawab Abu Bakar.

”Bukan!” kata Nabi.

”Kamu ini adalah sahabat-sahabatku,” selanjutnya Nabi berkata dan menegaskannya.

Keterangan Nabi itu sungguh menghairankan Abu Bakar, juga sahabat yang lain. Apakah bezanya antara. Sahabat dah ikhwan. Siapakah yang dimaksudkan Nabi itu dengan penuh kerinduan?

Demikian persoalan bermain dalam fikiran mereka dan suasana percakapan menjadi serius kerana masing-masing ingin tahu mengenainya, malahan ini persoalan yang belum pernah mereka dengar dari Nabi saw.

Nabi segera memahami suasana yang ada bila keterangan baginda mengejutkan Abu Bakar dan sekelian sahabat yang ada di majlis itu. Maka segeralah baginda menghuraikannya.

Ikhwan (saudara-saudaraku),”

”Mereka belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman aku sebagai Nabi dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi dari anak dan orang-orang tua.

”Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan engkau?” tanya sahabat.

”Kamu semua adalah sahabat-sahabatku,” jelas Nabi.

”Wahai Abu Bakar. Adakah engkau tidak akan merindui kepada ikhwanku itu kerana mereka juga menyintai engkau kerana engkau sahabatky?” demikian Nabi memperjelaskan perkara itu.

Baginda menerangkan bahawa mereka itu sesudah wafatnya baginda. Mereka itu beriman kepada Allah dan Rasul walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda.

Mereka membaca quran dan hadis kerana menyintai NabiNya sebagai rasul yang penghabisan. Mereka juga menyintai Abu Bakar dan sahabat Nabi yang berjuang pada menegakkan Islam.

Dalam suatu waktu yang lain, baginda membicarakan kepada sahabat-sahabat tentang kemurnian iman ikhwan dan sekali lagi mereka menjadi kehairanan.

”Siapakah makhluk Allah yang paling ajaib imannya?” tanya Nabi lagi.

”Malaikat,” jawab mereka.

”Bagaimana Malaikat tidak beriman dengan Alllah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah,” jawab baginda.

”Para Nabi,” jawapan mereka.

”Bagaimana para Nabi tidak akan beriman sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?” Nabi membantah jawapan mereka.

”Kami” jawab sahabat.

”Bagaimana kamu tidak akan beriman sedangkan aku berada di tengah-tengahmu?” jawab Nabi.

Betapa hairannya para sahabat mendengar jawapan Nabi itu dan mereka sudah cukup dapat memahaminya. Manakala Nabi sedia maklum betapa mereka amat ingin mengetahui siapakah makhluk ini yang paling ajaib imannya.

”Makhluk yang paling ajaib ialah mereka yang hidup sesudahku. Mereka membaca quran dan beriman dengan semua isinya,”

Nabi saw pernah menegaskan lagi tentang kemurnian iman ikhwan dalam sabdanya :

”Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah tujuh kali orang-orang yang beriman dengan aku tetapi tidak pernah berjumpa dengan aku,”

Demikian Nabi saw menyintai ikhwan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan