Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Selasa, 8 Mei 2012

Bilakah masanya kita boleh berehat...


Tentu kita pernah tertanya-tanya bilakah agaknya kita boleh berehat.  Seakan-akan tiada penghujung kehidupan ini.  Asyik dengan beban, kerja, perjuangan, ibadah dan lain-lain sehingga bisa memenatkan. Soalan ini pernah ditanya oleh Abdullah bin Ahmad kepada bapanya, Imam Ahmad bin Hanbal iaitu seorang tokoh ulama yang kita kenal namanya hingga sekarang. 


“Wahai bapaku, bilakah masanya kita betul-betul boleh berehat?”

Sambil memandang lembut ke dalam mata anaknya, Imam Ahmad bin Hanbal dengan penuh hikmah dan tenang lalu menjawab soalan anaknya itu:

“Kita hanya betul-betul boleh berehat apabila kaki kita sudah melangkah masuk ke dalam Syurga.”

Nasihat ringkas tapi mendalam dengan makna dan nilai yang diucapkan oleh Imam Ahmad ini dapat menepuk kita supaya sedar akan hakikat kehidupan di dunia ini. Kita di dunia ini selalu sangat banyak berehat dan mencari masa untuk berehat. Sedangkan dunia bukanlah tempat untuk kita berehat. Ia tempat untuk kita bersungguh-sungguh mencari bekal buat perjalanan menuju Hari Akhirat.

Fokus kebanyakan kita adalah dunia, dunia, dunia. Ramai di kalangan kita yang mencari kerehatan di dunia. Melepaskan setiap masa yang berlalu tanpa diisi dengan sesuatu yang bermanfaat untuk Hari Akhirat. Sepatutnya setiap masa yang terluang diisi dengan sesuatu yang bermanfaat. Paling kurang pun ialah mengingati ALLAH samada di dalam hati atau mengucapkan kalimah-kalimah dzikir ALLAH.

Sebab itu kita selalu mendengar dan melihat para ulama saban siang dan malam mengisi masa mereka dengan sesuatu yang penting untuk Islam. Bukan sahaja amalan-amalan fardhu mereka kerjakan, bahkan amalan-amalan sunat sentiasa mengisi masa terluang mereka. Siang mereka, mereka isi dengan mengajar ilmu, berpuasa dan berjuang di jalan ALLAH. Malam mereka, mereka isi dengan bacaan al-Quran, solat sunat dan tahajjud kepada ALLAH. Sedangkan kita jarang sekali ingin menyusahkan diri dengan ibadah-ibadah.

Betapa jauh sekali iman kita dengan mereka. Mereka sanggup bersusah payah di dunia ini, berkorban harta dan melepaskan waktu rehat mereka, semata-mata untuk mendapatkan tempat rehat yang mereka idamkan iaitu Syurga. Dan itulah jalan yang ditempuhi oleh semua orang-orang soleh sejak zaman Nabi sallAllahu `alaihi wasallam hinggalah Hari Qiamat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan