Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 25 April 2012

Kasih yang tak terucap...


Kenapa akhir-akhir ini hatiku mudah sangat tersentuh. Mungkin benarlah seperti apa yang dikata semakin kita dipanjat usia semakin kita beremosi dengan keadaan sekeliling.. Kisah dibawah ini adalah salah satu  episod kehidupan betapa besarnya pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa terhadap anak-anaknya


Jujur dan ikhlas, selama ini, aku tidak pernah ambil tahu apakah yang berada di dalam dompet ayahku. Sejujurnya juga, aku hanya beranggapan di dalam dompet ayahku hanyalah mengandungi beberapa keping wang kertas yang tak seberapa, hasil pemberian anak-anaknya dan dokumen paling penting miliknya, iaitu kad pengenalan.

Malah, ketika aku meminta ICnya untuk difotostat untuk tujuan tertentu( juga ketika ayahku menyerahkan ICnya kepadaku kerana sebab tertentu) ayah tidak pernah mengizinkan aku mengambil IC tersebut dari dompetnya, malah dia sendiri yang bersusah payah mengambil ICnya untuk diserahkan kepadaku.

Aku ingat lagi,beberapa peristiwa sekitar November dan Disember 2011, termasuklah ketika ayah menyuruhku membelikannya ubat-ubat yang dia perlukan di klinik berhampiran. Ketika itu kudrat ayahku kian susut, namun dia tetap berkeras dan bertegas untuk mengambil sendiri IC di dalam dompetnya untuk diserahkan kepadaku.

Benar-benar menjadi teka-teki?

Teka-teki itu terjawab selepas peristiwa 13 Disember 2011. Ketika aku dan abangku membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia(HUSM)Kubang Kerian. Tika itu ayah menyerahkan dompetnya kepada kakakku,sementara ICnya untuk urusan pendaftaran di HUSM diserahkan kepada abangku. Sebaik sahaja sampai ke HUSM, ayahku langsung ke bahagian kecemasan. Sebaik sahaja dibaringkan oleh doktor, ayah langsung tidak sedar/koma. Jantungnya terhenti selama 10 minit dan hampir 10 hari ayah koma.

Beberapa hari sesudah peristiwa 13 Disember 2011, aku membuka dompet ayahku untuk mengetahui ada apa dengan dompetnya(sebenarnya aku bersemangat untuk menyelongkar dompetnya setelah adikku memberitahu isi kandungannya- adikku terlebih dahulu yang menyelongkar dompet tersebut). Dompet itu sebenarnya pemberian adik bongsuku kepadanya beberapa tahun yang lalu.

Tahukah kalian, apa yang ada di dalam dompetnya?

  • Beberapa helai kertas yang lusuh, yang mengandungi tarikh lahir setiap anaknya(seramai lapan orang). Dicatat dengan lengkap setiap tarikh lahir tersebut dalam Kalendar Masehi dan juga Hijrah. Di catat juga detik anak-anaknya dilahirkan(jam dan minit).

  • Terdapat gambar ukuran kad pengenalan setiap anak-anaknya. Gambar tersebut merupakan gambar anak-anaknya yang dirakam ketika pertama kali membuat permohonan Kad Pengenalan. Atau lebih tepat lagi, gambar anak-anaknya ketika berusia 12 tahun( umur pertama kali memohon kad pengenalan). Abang sulungku dilahirkan pada tahun 1964, ini bermakna sudah 36 tahun gambar ukuran kad pengenalan abang sulungku itu disimpan rapi oleh ayahku. Begitu jugalah dengan gambar-gambar adik-beradikku yang lain.

Sebak dadaku ketika teka teki itu terjawab. Jujur, aku menangis setelah mengetahui perkara itu dan setiap kali aku mengenang kembali isi kandungan dompetnya, air mataku akan mencurah, walaupun sekudrat yang mampu aku cuba menghalang.

Ayah! Maafkanlah aku kerana tidak pernah tahu kehebatan kasih sayangmu terhadapku dan anak-anakmu

Tuhan! Ampunilah ampunilah segala dosa dan kesalahan ayahku. Dan,kau jadikanlah kuburnya sebagai sebahagian daripada taman-taman syurga.

13 Disember 2011, ayahku meninggalkan rumah untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan yang lebih baik dan 25 Mac 2012, ayahku meninggalkan hospital dan pulang ke rumah,tapi sebagai jenazah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan