Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 16 Januari 2012

Kemuncup di Padang Dakwah..

Sebagaimana di padang mungkin ada banyak kemuncup yang tidak menyenangkan, maka di padang dakwah tentu ada juga ‘kemuncup’nya. Kemuncup-kemuncup di padang dakwah mungkin dalam bentuk gangguan, ugutan, fitnah dan provokasi samada sengaja atau tidak sengaja oleh pihak-pihak tertentu yang tidak sependapat. Sebagaimana kemuncup yang melekat di kaki seluar yang tidak perlu kita asyik berhenti untuk mencabutnya, begitu jugalah dengan ‘kemuncup’ di jalan dakwah.

Janganlah dilayan sangat ‘kemuncup-kemuncup’ dakwah ini kerana ia bisa mengganggu perjalanan dakwah yang tentunya sangat panjang dan penuh ujian. Utamakanlah yang lebih utama dahulu. Iaitu menyampaikan risalah taqwa kepada masyarakat. Jangan sampai terganggu dan terbantut akibat terlalu melayan ‘kemuncup-kemuncup’ ini.

Saya kira fenomena jawab-menjawab di kalangan pendakwah turut termasuk di dalam kategori ‘kemuncup’ dakwah. Ia mungkin suatu yang dilihat sihat jika dipandang dari sudut akademik dan ilmiah kerana perbuatan tersebut boleh mencambahkan ilmu. Tetapi, jika terlalu disibukkan di dalam hal sebegitu dan kerap pula, ia boleh membantutkan dakwah buat masyarakat ramai yang rata-rata masih keliru dengan nilai moral dan agama. Paling menyedihkan jika ia akhirnya meragut ukhuwwah di kalangan ummat Islam dan para pendakwah.

Juga amat menyedihkan jika para pendakwah terlalu menyibukkan diri dengan isu-isu terkini yang remeh sedangkan ummat amat dahagakan ilmu dan peringatan dari para pendakwah. Tidak melayannya bukan bermaksud mengabaikannya langsung. ’Kemuncup-kemuncup’ ini harus ditangani juga apabila tiba masa yang sesuai dan dijawab dengan hikmah.

Kemuncup & Dakwah Berpasukan
Jika seseorang yang berjalan seorang diri bisa terganggu perjalanannya jika dia asyik berhenti kerana mahu mencabut kemuncup, apatah lagi jika sepasukan pemain yang bermain bolasepak di padang.

Sangat tidak patut jika terdapat seseorang pemain sibuk mencabut kemuncup di kaki seluarnya atau di stokingnya sedang permainan dijalankan. Tentu perbuatan tersebut akan mengganggu konsentrasi si pemain itu dan memberikan kesan yang buruk kepada keseluruhan pasukan. Jika tidak selesa dengan kemuncup itu, tahanlah dahulu. Teruskan bermain dengan cemerlang untuk mencapai matlamat permainan. Mengenai kemuncup itu, cabutlah kemudian ketika permainan direhatkan.

Buat sahabat-sahabat yang memilih perjuangan dakwah secara berkumpulan atau organisasi samada melalui badan-badan kebajikan, NGO atau parti politik, perumpamaan di atas harus difikir dan direnungkan untuk kebaikan kumpulan yang kalian sertai. Kalian mempunyai rakan pasukan yang bergerak bersama-sama di dalam pasukan. Bukan kalian sahaja dilekati ‘kemuncup’ itu, ahli pasukan lain turut dilekati sama. Ingat, matlamat pasukan mesti diutamakan. Amat tidak bijak jika kalian sibuk mencabut kemuncup di tengah permainan dijalankan.

Janganlah kerana masalah atau kepentingan peribadi, keseluruhan pasukan terpaksa memperlahankan perjuangan dakwah dan malah mungkin terkesan dek perbuatan kalian yang merugikan itu. Tumpukan pada matlamat perjuangan badan kebajikan, NGO dan parti politik yang kalian sertai sesuai dengan kehendak ALLAH dan RasulNYA.

Mudah-mudahan ibrah dari perumpamaan ini dapat memanfaatkan saya dan tuan/puan yang sudi membaca. Semoga ALLAH merahmati semua para pendakwah samada yang bergerak sendiri-sendiri atau berorganisasi pada skala mana pun mereka berada. Dan semoga pengislahan berterusan berlaku ke atas gerak kerja mereka seterusnya menatijahkan insyaALLAH ummat yang sejahtera, sama-sama menuju Syurga, amin.
Oleh: Shahmuzir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan