Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Ahad, 7 Ogos 2011

Terlalu canggih sampai jadi beban..


Banyak saya dengar keluhan dari teman-teman guru mengenai bebanan guru akhir-akhir ini. Saya bimbang kalau dibiarkan berterusan mungkin boleh membawa penyakit kemurungan kerana terlalu stress.

Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang sepatutnya canggih tapi sebaliknya menyebabkan para guru bangun 4 pagi pergi kafe siber nak masukkan data peperiksaan dan pelajar. Bayangkan habis periksa 12 Ogos 2011, 13 Ogos 2011 semua data ini kena lengkap masuk, dengan sistem yang begitu bermasalah.

Keluhan seorang guru...

Sistem SAPS banyak masalah

Berita Harian 6 Ogos 2011


Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program ini susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar dari talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.


Kami baru diperkenalkan dengan sistem ini pada 25 Julai lalu. Sudahlah kami hanya diberikan modul saja tanpa diajarkan sistem ini sepenuhnya. Sistem ini hanya boleh dibuka bila tidak ramai orang dalam talian iaitu, biasanya selepas jam 3 pagi.

Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian 1, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar.


Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. Sebenarnya sebelum menggunakan sistem SAPS yang diambil dari Perak, guru menggunakan sistem yang diambil dari Johor. Malangnya, apabila sistem baru diperkenalkan kami terpaksa melakukan pengisian markah sekali lagi. Ini sangat membebankan kerana terpaksa melakukan perkara yang sama berulang kali.


Yang peliknya semasa taklimat kami diberitahu bahawa semasa menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.

Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai.


Sebenarnya banyak lagi kelemahan lain dalam sistem ini. Sepatutnya pihak Kementerian Pelajaran terlebih dulu memastikan sistem yang ingin digunakan mestilah mudah dicapai pada bila-bila masa, cekap dan mesra pengguna.


GURU TENSION,

Kajang, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan