Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 15 Ogos 2011

Dakwah berkesan...Berkebajikan dan Berakhlak Mulia

Ulama-ulama tersohor zaman dahulu menyatakan bahawa dakwah yang paling berkesan adalah melalui kebajikan. Di zaman Rasulullah S.A.W, ramai yang tertarik dengan Islam kerana peribadi atau akhlak Rasulullah itu sendiri. Jelas, bahawa akhlak dan kebajikan adalah dua perkara paling utama dalam berdakwah.

Kristian, bolehlah dianggap sebagai agama yang paling dekat dengan Islam dari segi sejarahnya. Semua Nabi-nabi yang diiktiraf oleh Islam juga diiktiraf oleh Kristian kecuali Rasulullah S.A.W. Dan nampaknya, ajaran Islam mengenai kebajikan dan akhlak dalam berdakwah telah dikekalkan dalam ajaran Kristian, dan lebih dari itu mereka mengamalkannya. Malang sekali, Ulama Islam pula memilih untuk mengabaikan kedua-dua perkara ini.

Suka atau tidak kita tidak boleh menafikan bahawa mendiang Mother Theresa adalah lambang manusia mulia zaman ini beragama Kristian yang mengabdikan diri untuk berbuat kebajikan. Selain Mother Theresa, sesiapa saja yang rajin menonton National Geographic atau Discovery Channel pasti pernah melihat bagaimana mubaligh Kristian mengharungi belantara Amazon, Afrika dan serata dunia di mana seruan agama belum benar-benar sampai, semata-mata untuk berbuat kebajikan. Mereka membuka sekolah dan klinik untuk membantu masyarakat primitif mengenali tamadun dan kemudiannya, Kristian.

Ramai di antara mereka yang rela berkorban nyawa demi masyarakat tersebut.

Selain itu, mubaligh Kristian juga ramai yang menjadi sukaralewan di negara-negara yang menghadapi peperangan. Mereka melindungi anak-anak yatim mangsa perang di dalam gereja yang mereka bina di sana. Mereka mengabdikan diri kepada masyarakat setempat, meninggalkan keselesaan dunia sehingga mendapat penghormatan sebagai orang yang berilmu dan pelindung, kalaupun tidak penyelamat.

Hari ini, kita marah dengan mereka kerana berbuat kebajikan kepada saudara Islam kita. Hari ini, kita marah dengan saudara Islam kita kerana terlalu lemahnya akidah sehingga begitu mudah dipesongkan oleh mereka hanya kerana wang.

Benar, mereka salah kerana telah memperdayakan saudara-saudara Islam kita dan benar juga saudara-saudara Islam kita bersalah kerana begitu mudah terpedaya. Kita marah bila ada yang menyalahkan pentadbiran zakat. Kita marah bila ada yang menyalahkan pentadbiran Baitulmal.

Pendek kata kita marahkan segala-galanya kecuali diri kita sendiri. Kita tidak pula bertanya kenapa akidah mereka itu begitu lemah?

Seluruh masyarakat Islam sebenarnya bersalah kerana terlalu obses dengan luaran sehingga tiada lagi yang menumpukan kepada dalaman. Bagi kita, semuanya adalah berkenaan penampilan bukan penghayatan Islam.

Mengenal Allah membina akhlak
Menegakkan Islam harus bermula dari akarnya iaitu dari mengenal Allah sebelum kita beralih kepada perkara-perkara yang lebih tinggi seperti hukum hakam. Tetapi, ramai Ulama kita yang memperkenalkan hukum hakam dan dosa pahala terlebih dahulu kepada anak-anak kecil dan bukannya kepada Allah dan sifat-sifat Allah.

Kerana itu, ramai anak-anak Islam kita yang berpakaian Islam tetapi berpeluk-peluk lelaki perempuan di tengah jalan. Rata-ratanya, anak-anak perempuan Islam hari ini segan jika tidak memakai tudung kerana takut dimarahi guru dan ibubapa, tetapi tidak segan mempunyai akhlak buruk – bercakap kasar, tidak tahu menghormati orang tua, tidak tahu berkata terima kasih, tidak tahu meminta maaf malah lokek dengan senyuman.

Sedar atau tidak, masyarakat telah mengajar mereka bahawa penampilan lebih penting dari penghayatan lalu akibatnya ialah pengabaian terhadap akhlak. Akhlak telah disalahtafsir sebagai pakaian (tudung) semata-mata.

Semua ini mengundang pandangan sinis dari bukan Islam terhadap Islam menyebabkan mereka tidak tertarik langsung kepada agama kita. Oleh itu, apabila ada mubaligh Kristian yang lemah lembut bicaranya, sopan santun sifatnya mendekati mereka, maka mereka bagai dibawa ke dunia baru.

Apakah kita asyik menceritakan soal halal haram dan hukum hakam, mencari kesalahan pihak lain tidak mematuhi peraturan islam tanpa kita sedari ramai orang Islam yang masih tidak mengenali Allah.

Buktinya lihat apakah program yang dianjur dan dijamu saban hari di media massa dan media eletronik mengisi masa anak-anak muda kini yang kekosongan ilmu mengenal Allah. - KL-today"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan