Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Isnin, 11 April 2011

Awat banyak sangat barang tiruan...


Air Zam-Zam Tiruan


“AIR yang dikatakan air zam-zam itu dijual tanpa sebarang fakta pada botolnya. Yang ada hanyalah tulisan Air Zam-Zam berserta gambar Kaabah sahaja. Boleh percaya ke?” tanya seorang pengguna kepada BACARIA. Justeru, berdasarkan aduan pengguna ini terhadap penjualan air zam-zam yang meragukan, dijual semakin berleluasa dan kini boleh didapati dengan mudah, wartawan BACARIA, IZRA ABD RAHMAN DAN NOOR AZIANTY NORMAN telah membuat siasatan mengenai isu air zam-zam ini. Tulen atau tiruan? Turut menjadi persoalan adalah bolehkah air zam-zam ini dijual?

Pengguna keliru asli atau tiruan Air Zam-Zam pelbagai jenama

SHAH ALAM: Dahulu peluang minum air zam-zam hanya ada apabila saudaramara atau rakan taulan yang dijemput menjadi ‘tetamu’ Allah di Mekah membawanya pulang ke tanah air.

Namun kini, peluang untuk minum air paling berkhasiat di dunia ini semakin terbuka luas untuk sesiapa sahaja kerana ia boleh didapati dengan begitu mudah sekali.

Perkembangan ini mungkin menggembirakan mereka yang terdesak untuk mendapatkan air zam-zam ini untuk tujuan tertentu walaupun ada antaranya dijual dengan harga yang tak keterlaluan dikatakan sebagai ‘cekik darah’.

Namun, tak kurang juga pengguna yang merasa was-was akan keaslian, kesucian dan kebersihan air yang sememangnya suci ini memandangkan semakin banyak pihak yang berani meraih keuntungan dengan menjual air yang tinggi kandungan mineralnya ini.

BACARIA turut menerima beberapa aduan berhubung isu ini. Selepas tinjauan dibuat, memang jelas menunjukkan banyak air zamzam yang dijual dalam botol pelbagai bentuk dan saiz di premis tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Melihat air suci ini dijual begitu berleluasa di merata-rata tempat, maka ramailah yang terfikir apakah air zam-zam ini begitu mudah dibawa keluar dari Tanah Suci Mekah sehingga ia boleh diperdagangkan sesuka hati di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.

Malahan, sesetengah air zam-zam yang dijual terus meninggalkan misteri dan tanda tanya terutama bagi masyarakat Islam yang begitu teliti dan sensitif terhadap isu kepenggunaan dan keagamaan.

Lebih menimbulkan tanda tanya, apabila ada pengedar yang tergamak menjualnya pada harga yang amat tinggi sedangkan kuantitinya amat sedikit. Cara pembungkusannya pula terlalu ringkas, hanya tertera tulisan ‘Air Zam-Zam’ sambil dihiasi gambar Kaabah, itu pun cuma tinggal bumbungnya sahaja kerana gambarnya telah dipotong separuh.

Tidak tertera asal-usul dan ramuan air zam-zam pada botolnya, sudah tentu boleh dimaafkan kerana masyarakat Islam di seluruh dunia tahu bahawa ianya air mukjizat dari Allah untuk umat- Nya di seluruh dunia yang diberikan secara percuma.

Namun, jika nama syarikat dan alamat syarikat pengedar langsung tidak dicetak pada label dibotolnya, adakah ia dapat dimaafkan? Siapa dan pihak mana yang bertanggung jawab terhadap air yang diisytiharkan sebagai air zam-zam ini?

Hal inilah yang membuatkan timbul syak di hati pengguna, adakah air yang dilabelkan sebagai air zam-zam itu benar-benar air suci yang dibawa dari Tanah Suci Mekah? Jika benar, mengapa disembunyikan nama syarikat yang mengedarnya? Mungkin juga air yang kononnya dikatakan air zam-zam itu hanyalah air paip atau air mineral biasa kerana pengguna hanya dapat merasa dan memastikan ianya benar air zam-zam hanya selepas mereka membeli dan membayarnya.

Dan yang paling ditakuti sekali jika ada pihak tidak bertanggung jawab mempunyai muslihat tertentu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan