Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Selasa, 12 Oktober 2010

Tasawuf Dalam Perjuangan


Asas tasawuf terletak kepada hati. Islam, Iman dan Ihsan bercahaya di hati apabila sirna segala rasa sombong, besar diri, ego dan seangkatan dengannya. Gerombolan penyakit hati ini memungkinkan manusia tidak ikhlas dan nyah istiqamah dalam perjuangan. Betapa ramai orang berjuang untuk Islam beriringan dengan matlamat hendak mendapat sesuatu sama ada nama, pangkat, peluang dan kebendaan. Mungkin keinginan untuk mendapat ganjaran dunia itu tidak kelihatan semasa Islam berada dalam keadaan tertindas. Namun apabila Islam menang, barulah umpama campak yang timbul ketika berhadapan dengan ghanimah itu.

Pada sudut lain pula, kedapatan pejuang yang meninggalkan medan kerana tersingkir dari perebutan. Berlakulah kemiskinan jiwa seperti marah lalu merajuk, dengki lalu mengutuk. Hati masih ingin melihat Islam menang tetapi benci pada saudara seperjuangan. Tak senang apabila rakan mendapat peluang sedangkan peluang itu telah dinafikan sekian lama oleh pemerintah yang tidak berlaku adil dalam agihan bantuan, peluang pekerjaan dan projek pembangunan.

Kedua-dua golongan ini membawa implikasi yang tidak baik kepada diri sendiri dan perjuangan Islam. Kesannya ialah, Islam akan dipandang rendah oleh musuh-musuhnya. Musuh-musuh pula mudah memporak-perandakan benteng dan kubu pejuang Islam. Akhirnya, perjuangan batil terangkat semula kerana keretakan dalam gerakan. . Bilakah perjuangan Islam akan bangkit kembali? Ya, perjuangan akan bangkit kembali tetapi dilambat-lambatkan oleh sikap dua kelompok tadi. Kemenangan Islam akan tertangguh selagi tiadanya kesatuan dan keikhlasan dalam perjungan.

Justeru, ilmu tasawuf amat penting untuk diikuti dan diamali. Penulis bukanlah pakar tasawuf namun izinkanlah penulis berkongsi ilmu yang kalau disukat tak dalam, kalau diukur tak panjang ini. Nabi s.a.w. pernah bersabda yang antara maksudnya, di dalam dada kita ada seketul daging, kalau baik, baiklah diri seluruhnya dan kalau buruk, buruklah diri seluruhnya. Daging itu ialah hati. Boleh dikatakan semua ahli gerakan Islam mengetahui hadis ini.

Ya, hati. Hati ini bersih dari mengejar jawatan dan kebendaan ketika peluang tiada di hadapan, tetapi hati yang tidak terasuh oleh ilmu tasawuf tiba-tiba menjadi tergoda kepada peluang dan ganjaran apabila kuasa ada dalam genggaman. Inilah anehnya penyakit hati. Pandai sungguh tamak, takabur, dengki, riak bersembunyi di sebalik lapisan hati. Pejuang Uhud bukan berperang untuk mendapat ghanimah tetapi apabila ghanimah terhidang di depan mata, masing-masing meninggalkan kubu.

Ya, hati juga mudah mengambil jalan mengundur apabila dipinggirkan atau rasa terpinggir. Mula ada rajukan. Mula berkecil hati. Lalu mengasingkan diri dari medan juang. Ketika duduk di luar perjuangan, hati tak kurang mencintai Islam tetapi bersarang rasa benci dan iri kepada saudara yang berjawatan di dalam.

Maka terjadilah pejuang Islam yang berada pada tiga kondisi. Kondisi pertama, pejuang yang masih bersama gerakan dan terus istiqamah dengan perjuangan. Kondisi kedua, pejuang yang mula bermain di atas pagar dan kondisi ketiga, pejuang yang masuk ke dalam kem musuh dengan pelbagai alasan. Natijahnya, perjuangan mendaulatkan Islam tidak lagi mantap. Kemenangannya pula menjadi lambat kerana situasi ini. Semakin lambat selagi itulah perjuangan yang batil mengambil peluang dan menduduki singgahsana.

Semua ini berlaku kerana ahli gerakan Islam mengkesampingkan tasawuf daripada perjuangan. Kalau tawasuf dibawa bersama, insya-Allah hati bersih dan benar ikhlasnya. Tiadalah ego dan sombong. Terlempar angkuh terbenam nafsu kebendaan. Hati terasa lapang mudah pula berlapang dada. Insya-Allah tiadalah lagi meminggir perjuangan, tiada rasa kecil hari apalagi iri hati. Semuanya redha kepada Allah.


Oleh: BayangDiAir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan