Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Rabu, 27 Oktober 2010

Ya Allah lindungilah kami dari segala malapetaka


Ketika malapetaka ini tersebar dalam berita hati saya amat cemas tentang keselamatan anak saudara saya yang menuntut di Pasentren Sirajul Mokhlisin berhampiran kaki gunung Merapi. Saya berdoa agar dia selamat. Alhamdulillah bila melihat senarai nama pelajar Malaysia yang dipindahkan hati saya lega kerana terdapat namanya disana.

Tetapi amat menyedihkan juga kerana orang yang hampir saya temui Mbah Maridjan terkorban dalam trajedi tersebut. Mayatnya ditemui dalam posisi sedang sujud. Butiran tentang kematian Mbah Maridjan ada saya muatkan dalam blog saya beserta gambarnya sekali.

Pihak berkuasa Indonesia merayu bantuan selepas tsunami melanda sebuah kepulauan, diikuti pula dengan letupan gunung berapi, mengakibatkan ramai yang terkorban dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Keseluruhan kampung tenggelam dan rumah-rumah di kawasan berhampiran pantaibarat Sumatera, musnah dilanda gelombang besar selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.7 di sekala richter.

Sekurang-kurangnya 154 orang terkorban manakala kira-kira 400 lagi masih hilang, kata para pegawai.

"Mereka kehilangan rumah masing-masing dan sekarang memerlukan banyak bantuan. Khemah tiba hari ini, tetapi kita masih perlukan banyak lagi," kata ketua pengurusan bencara daerah Sumatera Barat, Harmensyah.

"Kita perlu mencari orang yang hilang secepat mungkin. Sebahagian daripada mereka mungkin telah menyelamatkan diri di kawasan pergunungan. Tetapi mungkin ramai juga yang telah dihanyutkan."

Beberapa ratus kilometer jauhnya di Jawa tengah, 25 orang terkorban apabila gunung berapi yang paling aktif di republik itu - Gunung Merapi - meletup semalam, dan memuntahkan lava dan gas.

Para pegawai berkata hampir 29,000 orang menyelamatkan diri dengan berlindung di sekitar bandaraya Yogyakarta, tetapi ada kebimbangan mengenai nasib ribuan lagi penduduk yang enggan meninggal kampung mereka.

Gempa bumi yang melanda Isnin lalu di kepulauan Mentawai - sebuah kawasan yang popular dengan aktiviti peluncuran, mencetuskan tsunami setinggi tiga meter (10 kaki) dan memusnahkan 10 buah kampung.

Sementara itu ombak tsunami melonjak sejauh 600 meter ke daratan kepulauan Pagai Selatan, kata para pegawai. Di pulau Pagai Utara, sebuah pusat peranginan dan hampir 200 rumah musnah.

Kakitangan perubatan dikejarkan dengan helikopter tetapi usaha menyelamat terjejas oleh masalah komunikasi di kepulauan terbabit, yang memakan masa satu hari menaiki feri untuk sampai dari pelabuhan di Padang di wilayah Sumatera Barat.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan tempoh lawatan ke Vietnam untuk menghadiri sidang kemuncak pemimpin negara-negara Asean dan dalam perjalanan ke Mentawai. Menurut para pegawai, beliau dijangka tiba pada hari Khamis. - AFP

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah..anak saudara saya Mohd Mubashir Hj Rafei yang menuntut di Pasentren Sirajul Mukhlisin Jogjakarta selamat dipindahkan ke tempat yang selamat

    BalasPadam