Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Sabtu, 18 September 2010

Adalah Manusia Itu Ajula (Gopoh)


Pagi ini aku membelek-belek kitab lama 'kasful Ghaibiyah'. Tertarik juga melihat kejadian Nabi Adam a.s. Belum sempurna roh Nabi Adam memasuki jasadnya, ia sudah bingkas untuk bangun namun tidak berupaya...lantas Allah berfirman yang bermaksud "Adalah manusia itu dijadikan ajula yakni gopoh gapah."

Teringat aku suatu ketika dulu,ketika aku masih menjadi kaunselor palajar setelah menamatkan kursus bimbingan dan kaunseling. Sebagai kaunselor tentunya sebok dengan berbagai program yang direncanakan sama ada di peringkat sekolah,daerah mahupun negeri. Kerap juga aku keluar sebagai fasilitatur dalam program motivasi seperti kepimpinan pelajar,kolokium waja diri program anti dadah dan sebagainya.

Biasanya program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah dan Negeri kerap diadakan di Ulu Kenas,Chepor, Intan Suraya Sg,Siput,Manong dan banyak lagilah tempat yang tak dapat disebutkan di sini. Ditempat beginilah Kaunselor daerah dan negeri berkumpul.

Di samping menjalankan tugas yang diamanahkan kami akan berbincang,bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman. Justeru dalam laman blog ini ingin aku paparkan satu kisah yang menyentuh hati yang diceritakan oleh seorang sahabatku yang juga seorang kaunselor. Cerita ini disampaikan secara lisan dan aku olah kembali dalam bentuk tulisan kalau tidak tepat maaf dipinta.

Nor (bukan nama sebenar) seorang pelajar yang agak pintar. Menduduki kelas kedua terbaik daripada 6 kelas. Pelajar ini agak pendiam dan kurang bergaul. Bulan pertama dan kedua tidak banyak menimbulkan masaalah. masuk bulan ketiga pelajar ini makin kerap ponteng sekolah. Kerja sekolah pun tak disiapkan tanpa alasan. Beberapa kali amaran diberikan oleh guru kelasnya namun ia terus berlaku dan berlaku.

Kadangkala dalam 5 hari sessi persekolahan hanya 2 hari datang ke sekolah aktiviti hari sabtu memang confirm tak datang. Berapa kali Nor didenda berdiri di luar bilik darjah kerana tidak menyiapkan kerja rumah. Pelajarannya merosot teruk. Akhirnya kes Nor ini dibawa kepada guru kaunseling sekolah (sahabat aku)

Masalahnya pelajar ini terlalu kuat menyimpan rahsia. Bermacam kaedah digunakan agar ia menceritakan masaalahnya namu Nor tetap membisu,jika didesak dia hanya berkata 'Saya redha jika saya dihukum kerana kesalahan saya...saya tak benci dan marah dekat cikgu yang menghukum saya." Wajahnya cukup bersahaja.

Akhirnya aku ( guru kaunseling) bertekad untuk menjejaki pelajar tersebut,apa yang dibuatnya di rumah. Tanpa pengetahuan sesiapapun setelah mendapat alamat lengkap, aku pergilah ke rumah pelajar tersebut. Kebetulan hari itu pelajar ini tidak hadir ke sekolah.

Rumahnya nampak sederhana sahaja. Pintu tertutup tetapi tingkap terbuka. Diampaian kelihatan kain tersidai, dan kelihatan anak ayam berkejaran kesana ke mari. Dua kali beri salam barulah pintu dibuka oleh seorang anak kecil tak berbaju dalam lingkungan usia 7 ke 8 tahun.

"Pak cik ni cikgu pada Nor.. Pakcik nak tanya Nor ada di dalam rumah tak? Aku menjelaskan kedatanganku.Tiba-tiba budak itu berpaling ke belakang dan berteriak 'Kak Nor!! Cikgu Kak Nor datang..." Seorang lagi budak perempuan menjengok ke muka pintu mungkin kakak budak ini dan mempersilakan aku naik."Cikgu...kakak sedang bagi makan mak..." Aku jadi kaget apa sudah jadi pada maknya.

Terkedu aku melihat siibu terbaring lemah tak bermaya,dan aku lihat pelajar ku Nor tunduk ke lantai. Di tangannya ada mangkuk bubur nasi mungkin dia rasa malu dengan kehadiranku.

'Kenapa Nor tak berterus terang dengan cikgu...mana ayah Nor..' Aku mula menyelidiki. Kalau ketika sessi kaunseling dulu wajahnya bersahaja tapi kali ini aku lihat air mata mula membasahi pipi."cikgu...saya sebenarnya tak mau orang lain tahu musibah yang menimpa keluarga kami..tapi sekarang cikgu dah lihat sendiri. Mak kena serangan ahmar,badannya dah lumpuh, ayah baru sahaja meninggal eksiden motor di Jalan Air Kuning tiga bulan yang lepas" Sambil mengesat air mata Nor meneruskan kata-katanya"Saya terpaksa jaga adik-adik bila mak tiba-tiba diserang ahmar. Sekarang ini Tok dan seorang bapa saudara saya yang kerap membantu dari segi kewangan dan makanan" Saya tak tau nak buat apa, saya nak belajar tapi semangat saya dah hilang..Saya kesian dekat mak,siapa nak suapkan makanan pada makkalau saya tak ada"

Aku turut sebak apatah lagi apabila mataku melirik melihat wajah si ibu yang pucat lesi tetapi berlinangan air mata. Mulutnya kumat kumit seolah-olah ingin menyatakan sesuatu.

"Ustaz...kalaulah ustaz berdepan dengan kes begini apa tindakkan ustaz.."Sahabatku yang menceritakan kisah ini kepadaku tak semena-mena melontarkan persoalan ini kepadaku. Lidahku kelu seribu bahasa cuma aku dapat nyatakan kita perlu bertindak cermat,kadangkala kita bertindak mengikut emosi,nasib baik Nor tak dikenakan denda yang berat. Akhirnya aku faham bilamana melihat kejadian manusia yang senantiasa ajula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan