Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Sabtu, 25 September 2010

Gaji RM9 ribu sebulan tak cukup lagi?

Oleh: ustnik

"‘Dia baru naik pangkat GM’ beritahu seorang sahabat. ‘Berapa gajinya?’ saya tanya. ‘RM9 ribu kot’. ‘Tapi isterinya kata tak cukup lagi.’ jawab sahabat itu. ‘Itu tak ada qanaah namanya, nafsu memang tak cukup.’ komen saya ringkas.

Perbualan seperti ini mungkin saudara pernah jumpa di mana-mana. Sahabat-sahabat SAS84 yang sebahagiannya sudah menjadi orang besar-CEO, GM, pegawai kanan dll pun biasa bertemu situasi ini. Atau situasi yang kena diri sendiri?

Saya tidak bermaksud mengata, tetapi dialog di atas berlaku di Kemaman, bukan di KL. Gaji suami RM9 ribu, gaji isteri sekian ribu. Anak hanya seorang. Tinggal di Terengganu. Masih tidak cukup?

Saya tahu tentang seorang yang bekerja di KL, gajinya RM4 ribu sebulan. Isteri pun bergaji RM4 ribu. Kata suaminya tak cukup. Anak 4 orang. Justru, cari kerja di luarnegara. Nampak logik. Tapi situasi pertama tadi?

Apabila nafsu besar, gaji berapa pun tak akan cukup. Nabi sudah lama menyebut: ‘Kalau manusia ada satu lembah emas, ia mahu satu lagi..’ dan begitulah seterusnya, tidak pernah cukup sehingga tanah menutupinya.

Kalau di KL, kos hidup, yuran, segala macam bil, hutang dan lain-lain yang memang menjadi keperluan. Kalau ada anak 10 orang, isteri seorang (ehem..) dikatakan RM9 ribu sebulan, boleh angguk juga. Tapi kes pertama rasanya geleng-geleng kepala.

Saya dahulunya pensyarah. Dengan taqdir Allah Yang Maha Mengetahui, saya ‘tidak lagi’ menjadi pensyarah. Sebahagian punca pendapatan saya hilang. Saya pernah berkata kepada diri saya: ‘Saya hilang kerja, tapi tak hilang rezeki’. Alhamdulillah sehingga sekarang masih boleh bernafas.

Saya ingat kepada hadis Qudsi yang menyarankan solat 4 rakaat sebelah pagi, Allah jamin rezeki hingga ke petang. Saya amalkan. Saya ingat kelebihan surah al-Waaqi’ah dibaca setiap malam, saya amalkan walaupun sesekali tertinggal. Saya syarahkan kepada orang lain supaya ada qanaah, saya cuba untuk amalkan. Alhamdulillah, kita kerja membanting tulang, rezeki Allah yang bentang, jiwa tenang.

Itu kita. Belum bercakap tentang mereka yang pendapatan bulanannya puluhan malah ratusan ribu. Pun tak cukup juga? Ya, yang tak cukup itu adalah nafsu BESAR. Justru, tak hairanlah Malaysia berada di ranking makin corot dalam isu rasuah.

Elok juga kalau dengar kuliah ini, ini dan ini untuk mengendurkan sedikit nafsu BESAR yang tiada hujung itu.

www.niknasri.com

"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan