Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Khamis, 23 September 2010

Bateri Yang Tak Dicas....


Rasa malas...culas membelenggu diri. 2 minggu rehat panjang selepas aidil fitri. Semua kuliah pengajianku ditangguhkan dulu. Melayan tetamu yang datang hingga ke malam,puasa enam di bulan syawal dan nak ziarah keluarga yang tak sempat dikunjungi menyebabkan kelas pengajian ditangguh dulu.

Nak mula balik macam bateri lemah. Ketika balik kampung untuk ambil buah sawit di kebun nak stat lori pickup bukan main susah. Rasa cuak juga dibuatnya. Hati kecil ku berkata "hang pun nak jadi macam tuan hang..lama sangat dok berehat" Terpaksalah beli bateri baru.

Aku teringat satu doa dari Rasulullah saw untuk hilangkan sifat malas ini. Amalkan selalu selepas solat asar dan selepas solat maghrib, Insyaallah kita akan kembali bersemangat dan hilang sifat malas. baca sekurang-kurangnya 3 kali


“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

Doa ini juga perlu menjadi amalan kepada mereka yang terbeban dengan hutang piutang bersandarkan satu hadis riwayat dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawasanya pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang sahabat yang sangat miskin bernama Abu Umamah. Siang dan malam dia tinggal di masjid, sehingga Rasulullah pun mengetahui perihal keanehan-keanehan pada diri Abu Umamah itu, dan kemudian beliau memanggilnya seraya menanyakan sebab-sebab dia bersikap demikian. Abu Umamah menerangkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang kesedihan dan kesusahan yang menyebabkan ia tidak betah tinggal di rumah, kerana akibat banyaknya hutang yang tidak dapat di bayarnya.

Mendengar pengaduan Abu Umamah, Rasulullah s..a.w. merasa hiba lalu beliau berkata kepadanya: ”Mahukah kamu kuberi beberapa kalimat dan amalkanlah dengan baik setiap hari, nescaya Tuhan akan melenyapkan kesedihanmu dan dan memberimu kelonggaran? Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca doa diatas, sedang Abu Umamah mendengarkannya dengan baik. Abu Umamah membiasakan membaca kalimat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. itu siang dan malam dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memberi kelonggaran kepadanya.

Selang beberapa hari, kesedihan dan kedukaan yang dialami Abu Umamah agak berkurangan, makin lama makin berkurang dan akhirnya hilanglah sama sekali dan terbukalah alam fikirannya untuk mendapatkan usaha yang baik. Dia akhirnya menjadi usahawan yang besar, sehingga hutang-hutangnya dapat terbayar semuanya, dan bahkan dia menjadi orang yang kaya raya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan