Terimalah seadanya...inilah yg mampu disumbangkan

Jumaat, 10 September 2010

Dari kamar Hati...




Alhamdulillah Puji dan Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi di dalam bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri 1431H pada tahun ini. Sesungguhnya kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan aktiviti ibadah dan seterusnya meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.

Orang yang bertaqwa hidupnya selari dengan agama. Hidup beragama terlalu jauh berbeza dengan hidup berdasarkan perlembagaan buatan manusia. Kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din).

Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.

Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.

Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT.

Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. Insya-allah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan